26 tong sisa bahan kimia ditemukan dalam kebun sawit di Jempol
JEMPOL – Sebanyak 26 tong dipercayai berisi sisa bahan kimia ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran FELCRA Air Hitam, Seri Jempol, di sini semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan itu kira-kira jam 11.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Jempol digerakkan ke lokasi.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Seremban 2 turut dikerahkan bagi membantu operasi.
“Pasukan HAZMAT yang tiba sekitar jam 1.24 tengah hari telah menjalankan pemeriksaan lanjut termasuk membuka penutup tong dram untuk tujuan pengambilan sampel oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Hasil bacaan awal mendapati sisa buangan tersebut adalah neutral dengan bacaan pH6,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Operasi berkenaan tamat kira-kira jam 3.59 petang dan kesemua tong berisi bahan berkenaan telah diserahkan kepada pihak JAS untuk tindakan lanjut termasuk mengenal pasti jenis sebenar sisa buangan itu.
Penemuan berkenaan menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan aktiviti pembuangan sisa bahan kimia secara tidak sah yang boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan penduduk setempat.
Pihak berkuasa dijangka meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



