
SPRM tahan 16 individu disyaki terlibat rasuah pendaftaran kelahiran
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu disyaki terlibat dalam rasuah berkaitan pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara sebagai warganegara serta penggunaan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, operasi khas Op Outlander dan Op Birth dilancarkan semalam dengan serbuan di beberapa premis, termasuk klinik dan firma guaman di Lembah Klang dan Johor.
Dalam Op Outlander, seorang penjawat awam disyaki membantu pendaftaran lewat kelahiran yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
Difahamkan, kegiatan itu turut didalangi seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin, dipercayai mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.

Sementara itu, Op Birth membongkar kegiatan tiga individu yang bertindak sebagai ejen, menawarkan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam untuk memproses pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu seperti surat pengesahan kelahiran hospital.
Selain itu, enam orang awam yang disyaki menggunakan khidmat ejen turut ditahan kerana mengemukakan permohonan daftar kelahiran.

Seorang pengamal undang-undang dipercayai bertindak sebagai orang tengah antara ejen dan pemohon turut ditahan.
“Seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan antara pukul 11 pagi hingga 8 malam semalam. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor untuk membantu siasatan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi permohonan reman,” katanya.
Bagaimanapun, dua suspek termasuk individu bergelar Datuk Seri yang mengalami masalah kesihatan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas percakapan mereka direkodkan.
Menurut Ahmad Khusairi, serbuan itu dilakukan berdasarkan hasil risikan selama setahun dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam membanteras rasuah, khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam demi memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |