AgamaRencana

Kesempurnaan akhlak Sayyidah Khadijah, tidak pernah menyakiti hati Rasulullah

DI sebalik perjalanan dakwah Rasulullah SAW yang dipenuhi liku-liku ujian, berdiri teguh seorang wanita mulia yang menjadi tulang belakang perjuangan seorang Nabi akhir zaman.

Sayyidah Khadijah Al Kubra binti Khuwailid RA merupakan wanita teragung dalam sejarah Islam.

Beliau bukan sekadar isteri yang setia, tetapi juga seorang penyokong utama, dermawan yang rela mengorbankan seluruh hartanya dan insan pertama yang beriman dengan risalah kenabian.

Biografi ringkas mengenai nasab Sayyidah Khadijah Al Kubra RA yang dilahirkan 15 tahun sebelum keputeraan Rasulullah SAW

Dalam sejarah Islam, nama Sayyidah Khadijah RA bukan sekadar disebut, tetapi dikenang sebagai contoh ketulusan, pengorbanan dan kasih sayang tanpa syarat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin berkata, sempurnanya Khadijah RA sehingga peringkat beliau tidak pernah menyakiti hati Rasulullah SAW.

Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin

“Tidak pernah didengari daripada mana-mana hadis atau kitab sirah yang menyebut bahawa Rasulullah SAW murka atau marah kepada Khadijah.

“Malah, Khadijah RA tidak meminta dunia daripada Muhammad SAW, sebaliknya beliau memberi dunia kepada Rasulullah yang kemudian digunakan untuk menyebarkan Islam,” kata beliau melalui satu video ceramah berkaitan Ummul Mukminin itu sempena kewafatan beliau pada tarikh 11 Ramadan.

Menurut beliau lagi, Sayyidah Khadijah RA merupakan orang kaya yang paling kaya di Makkah, namun wafatnya Khadijah sebagai manusia yang paling fakir di atas muka bumi ini.

“Khadijah RA menyerahkan seluruh hartanya kepada Rasulullah SAW. Daripada orang yang paling kaya, kewafatan Khadijah dalam keadaan paling fakir di bumi Makkah Al Mukarramah.

Ketika peristiwa Muqata’ah iaitu umat Islam dikepung dan dipulaukan, Sayyidah Khadijah RA merupakan individu yang memberi makanan dan minuman buat Bani Abdul Muttalib dan Bani Hasyim selama tiga tahun.

“Orang Islam daripada kalangan hamba abdi, dimerdekakan oleh Khadijah RA,” katanya.

Tambah beliau, ketika umat Islam dipulaukan oleh kaum Quraisy dalam peristiwa Muqata’ah, selama tiga tahun Sayyidah Khadijah RA menggunakan hartanya untuk memberi makan dan minum kepada Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib.

“Walaupun beliau sendiri tidak termasuk dalam golongan yang dipulaukan, namun beliau tetap setia bersama suaminya menghadapi penderitaan itu.

“Pada waktu itu, beliau sudah berusia lebih 60 tahun, tetapi tetap tabah dan tidak pernah menunjukkan wajah masam di hadapan Rasulullah SAW.

“Khadijah RA juga hakikatnya adalah modal Islam. Islam mesti ada modal yang berupa wang ringgit. Kerana itu dalam Islam ada zakat, ada wakaf. Dalam Islam ada memerdekakan hamba. Semua itu adalah modal, untuk menggerakkan dakwah Islam.

“Modal Islam adalah harta Sayyidah Khadijah RA. Justeru, setiap orang Islam yang memeluk Islam pada hari ini, hakikatnya mereka perlu berterima kasih kepada Khadijah RA,” tegas Syeikh Muhammad Fuad.

Ungkap beliau, apabila berbicara tentang Khadijah RA, beliau adalah seorang wanita faqihah (mempunyai kefahaman yang tinggi dalam hal agama), alimah (berilmu, bijaksana dan berpengetahuan luas), najibah (seorang yang mulia dan terhormat), nabilah (luhur budi pekertinya, cerdik dan berbudi tinggi), tohirah (seorang yang suci, bersih daripada segala kekotoran zahir batin) dan zaqiyyah (cerdas, bersih jiwa dan akhlaknya).

“Sebelum Islam lagi, Sayyidah Khadijah RA telah menyediakan kemudahan untuk Rasulullah SAW beruzlah di Gua Hira’.

Pemandangan Jabal Nur yang di atasnya terletak Gua Hira’ tempat Rasulullah SAW beruzlah sebelum menerima wahyu pertama dan Khadijah RA setia menghantar bekalan makanan buat suaminya.

“Beliaulah yang menghantar bekalan makanan dan minuman kepada Baginda SAW, bahkan kadangkala mendaki sendiri ke Gua Hira’ untuk memastikan keperluan suaminya mencukupi.

“Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu pertama, Sayyidah Khadijah RA adalah orang pertama yang mendakap dan menenangkan hati Baginda SAW.

“Beliau juga yang menguji kebenaran wahyu tersebut dan tanpa ragu-ragu menjadi manusia pertama yang beriman kepada ajaran Islam,” ungkapnya.

Sayyidah Khadijah RA mendapat penghormatan yang luar biasa daripada Allah SWT. Jibril AS pernah datang kepada Rasulullah SAW membawa pesan daripada Allah SWT:

“Wahai Muhammad, sampaikan salam Allah kepada Khadijah dan khabarkan kepadanya bahawa Allah telah menyediakan sebuah istana di syurga daripada lu’lu’ yang tidak ada hiruk-pikuk dan kelelahan di dalamnya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Jelas Syeikh Muhammad Fuad, janji ini adalah balasan di atas segala keletihan dan kepenatan yang beliau alami di dunia demi membantu perjuangan Islam.

Kemuliaan akhlak Khadijah RA sehingga beliau mendapat penghormatan menerima salam daripada Allah SWT dan malaikat Jibril AS.

“Syurga yang diberikan kepadanya bebas daripada segala jeritan, cacian dan makian yang beliau alami ketika orang Quraisy menghina dan mencerca suaminya, Nabi Muhammad SAW.” ujarnya.

Selepas keluar dari kepungan Muqata’ah, Sayyidah Khadijah RA jatuh sakit dan akhirnya wafat pada 11 Ramadan dalam tahun kesepuluh kenabian pada usia 65 tahun. Beliau dimakamkan di perkuburan Ma’la.

Pemergian Sayyidah Khadijah memberi kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah SAW, sehingga tahun tersebut dikenali sebagai ‘Aam al-Huzn (Tahun Kesedihan).

Rasulullah SAW sangat menghargai jasa dan kasih sayang Sayyidah Khadijah RA. Bahkan, setelah kewafatan beliau, Baginda SAW masih sering mengenang dan menyebut namanya.

Ini menunjukkan betapa dalamnya cinta dan penghormatan Rasulullah SAW kepada isteri tercintanya itu.

Gambar hitam putih sekitar tahun 1926 menunjukkan Tanah Perkuburan Ma’la iaitu tempat Sayyidah Khadijah RA dimakamkan. – Kredit Foto geopractice.wordpress.com

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah, tidak ada gantinya (Khadijah) untukku. Dia beriman kepadaku ketika semua orang mengingkariku. Dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku. Dia membantuku dengan hartanya ketika orang-orang tidak mahu membantuku. Dan Allah mengurniakan kepadaku anak-anak darinya sedangkan tidak ada anakku daripada isteri-isteriku yang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mengenang kemuliaan wanita penghuni syurga ini, maka wajarlah golongan wanita Muslim terutamanya para isteri berusaha mencontohi sedikit sebanyak keperibadian Sayyidah Khadijah RA dalam kehidupan yang berbaki.

Semoga dengannya menjadi asbab kita beroleh syafaat beliau di akhirat kelak dan dikurniakan nikmat berhimpun bersama Sayyidah Khadijah RA dan Rasulullah SAW di syurga tertinggi. Amin Insya-Allah.

Al Fatihah buat Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah Al Kubra RA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button