
Isu 3R ‘strategi perang baharu’ hancurkan perpaduan kaum, negara
KUALA LUMPUR – Isu 3R umpama satu ‘strategi perang baharu’ yang mampu menghancurkan perpaduan kaum dan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permainan isu 3R (Raja, Agama dan Kaum) jelas mempunyai niat jahat memperalatkan sentimen bagi menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.
“Isu 3R adalah strategi perang baharu yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari.
“Isu sebegini boleh menggugat keamanan negara, ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai perlu bijak, matang dan tidak terlalu mengikut emosi.
“Tapis semua maklumat, berita atau video yang dikongsi di media sosial serta jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum sahih.
“(Pada masa yang sama) elakkan penulisan status, komen, siaran gambar, poster atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosial, budaya dan sensitiviti kaum,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai jumlah siasatan dilaksanakan PDRM, Razarudin berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan ke atas 31 kes membabitkan isu 3R sepanjang tahun ini.
Katanya, daripada angka keseluruhan kes direkodkan itu, 17 daripadanya adalah kes 3R yang membabitkan institusi diraja.
“Selebihnya 12 kes berkaitan dengan isu agama, manakala dua lagi kes berkaitan isu perkauman.
“Keseluruhan 31 kes 3R disiasat PDRM pada tahun ini dan setakat ini, belum ada pertuduhan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) membabitkan mana-mana kes berkenaan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |