
Woo Kah Leong ketua baharu Angkatan Muda Harapan
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menegaskan komitmen untuk terus mengangkat suara anak muda dan memperkukuh agenda reformasi selepas melantik Woo Kah Leong sebagai Ketua AMH yang baharu.
Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat rasmi semua komponen sayap pemuda parti dalam Pakatan Harapan semalam.
Woo, yang juga Ketua DAPSY Kebangsaan, mengambil alih jawatan daripada Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Dalam kenyataan bersama, AMH merakamkan penghargaan kepada Dr Kelvin Yii atas kepimpinannya dalam memperjuangkan aspirasi anak muda dan memperkukuh peranan mereka dalam politik negara.
“Kepimpinan beliau menjadi tonggak penting dalam mengangkat suara generasi muda, memastikan mereka terus diberi perhatian dalam arus politik utama,” kata kenyataan itu.
AMH turut memberi sokongan penuh terhadap calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak.
Jentera pemuda akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya tersebut.
Selain itu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, AMH menyatakan kesediaan memperkukuh jentera pemuda setiap parti dalam gabungan bagi menarik sokongan golongan muda di negeri itu.
“Kami akan meningkatkan kesiapsiagaan jentera parti bagi memastikan calon-calon Pakatan Harapan mendapat sokongan padu, terutama dalam kalangan pengundi muda,” katanya lagi.
AMH juga mengkritik pendekatan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sering menabur fitnah serta memainkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan politik.
“Politik kebencian yang diamalkan oleh PN tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Sebaliknya, ia hanya akan merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” tegas kenyataan itu.
AMH menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk menolak politik toksik dan ekstrem demi kestabilan serta kemajuan negara.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua AMH dan Ketua DAPSY Kebangsaan,Woo Kah Leong, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abd Halim, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda, Ketua Pergerakan Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang dan Ketua Wanita Muda Amanah Nasional, Masturah Abu Bakar .
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |