
PM saran KBS kaji semula kursus, latihan kemahiran sesuai kehendak industri
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disaran mengkaji semula kursus dan latihan kemahiran agar memenuhi kehendak industri dan memastikan pengurusan berfungsi dengan cekap tanpa pembaziran.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Program Ihya’ Ramadan di KBS yang turut dihadiri Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Adam Adli.
Anwar berkata, program dimulakan dengan mesyuarat bersama pimpinan pengurusan KBS yang membincangkan pelbagai isu untuk memastikan penambahbaikan kebijakan serta mekanisme yang relevan dengan arus pendigitalan, teknologi dan perubahan ekonomi global.
“KBS perlu membentuk budaya kerja yang lebih dinamik dan inklusif bagi golongan belia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar menyatakan dirinya amat tersentuh dan bersemangat tatkala menjejakkan kaki di KBS tengah hari tadi kerana ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke situ.
“Kehadiran saya telah menghimbau kisah dan pengalaman 42 tahun lalu, yakni ketika saya diberi amanah untuk berkhidmat sebagai Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.
“Masih segar di ingatan betapa pegawai-pegawai belia di daerah-daerah tetap bekerja dengan semangat juang yang tinggi meski berdepan tantangan dan kekangan yang ada,” katanya.

Seterusnya, Perdana Menteri bersama warga KBS menghadiri tausiah bertajuk “Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia Madani” oleh Ustaz Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diikuti solat Zohor secara berjemaah.
“Ramadan adalah madrasah yang terbaik dalam membentuk kualiti kepemudaan yang penuh idealisme, rohani yang kukuh, dan semangat untuk memberi dampak kepada nusa dan bangsa,” ujar Anwar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |