
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terbaik Asia Pasifik kali ke empat
SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) sekali lagi mencipta sejarah dengan meraih gelaran Lapangan Terbang Terbaik Asia Pasifik untuk tahun keempat berturut-turut bagi kategori 2 hingga 5 juta penumpang dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2024 oleh Airports Council International (ACI).
Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi LGK sebagai lapangan terbang terbaik dalam kelasnya, malah membuktikan komitmen luar biasa Malaysia Airports dalam memastikan pengalaman perjalanan bertaraf dunia kepada penumpang.
Kemenangan berterusan itu adalah hasil usaha gigih dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan, kecekapan operasi, kebersihan dan keselesaan penumpang.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pencapaian itu membuktikan LGK sebagai peneraju dalam industri penerbangan serantau.
“Empat kemenangan berturut-turut ini adalah bukti kecekapan operasi dan dedikasi seluruh pasukan LGK.
“Sebagai pintu masuk ke Langkawi, destinasi pelancongan utama serta Geopark Global UNESCO, kami komited untuk terus menambah baik perkhidmatan, memperkenalkan inovasi digital dan meningkatkan kemudahan lapangan terbang,” katanya.
Sepanjang tahun 2024, LGK mencatatkan 2.5 juta pergerakan penumpang, meningkat 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini dipacu oleh lonjakan 27.9 peratus dalam trafik antarabangsa, yang meningkat kepada 280,601 orang.
LGK kini beroperasi dengan lapan syarikat penerbangan yang mengendalikan 198 penerbangan berjadual setiap minggu.
Mohd Izani menambah, LGK kini bersedia untuk meneroka pasaran baharu dengan memanfaatkan kehadiran pemegang saham baharu Malaysia Airports yang memiliki jaringan global luas.
“Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus menarik lebih banyak rakan kongsi penerbangan dan memperluaskan jaringan antarabangsa. Kami mahu memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pilihan pelancong dan hab penerbangan utama di rantau ini,” katanya.
Malaysia Airports bertekad untuk mengekalkan kecemerlangan ini dengan pelaburan berterusan serta kerjasama strategik, memastikan LGK terus gah sebagai lapangan terbang terbaik Asia Pasifik untuk tahun-tahun mendatang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |