
KPT pantau insiden bom di Sungai Golok, tiada pelajar Malaysia terjejas
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia dilaporkan terjejas dalam insiden letupan bom di Pekan Sungai Golok, selatan Thailand pada 8 Mac lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan kejadian berkenaan dan setakat ini, tiada maklumat diterima mengenai pelajar Malaysia yang terlibat.
“KPT mengikuti secara dekat insiden ini. Kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di selatan Thailand mengikuti pengajian dalam bidang agama secara persendirian,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga KPT di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua sukarelawan polis maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.
Serangan itu berlaku kira-kira sejam selepas umat Islam berbuka puasa.
Susulan kejadian tersebut, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani buat masa ini.
Dalam perkembangan lain, Zambry turut memaklumkan bahawa empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jordan pada 8 Mac lalu kini berada dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi masih dalam pemantauan pihak hospital.
“Saya menerima laporan harian mengenai keadaan mereka dan telah mengarahkan Education Malaysia Jordan (EMJ) untuk menyediakan maklumat terkini setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan bila pelajar berkenaan akan dibawa pulang ke Malaysia kerana doktor masih menjalankan pemantauan rapi terhadap mereka.
Terdahulu, media melaporkan bahawa empat pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan cedera dalam satu kemalangan jalan raya di negara berkenaan.
Dua daripada mereka berasal dari Johor, manakala dua lagi masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam majlis iftar berkenaan, Zambry turut menyampaikan sumbangan raya kepada 98 pembantu khidmat am yang terdiri daripada warga pengurusan ibu pejabat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |