
KPDN lancar OPS CAMPUR, langkah tegas banteras percampuran beras import dan tempatan
PUTRAJAYA– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Operasi Campur (OPS CAMPUR) sebagai langkah tegas untuk membanteras aktiviti percampuran beras import dengan beras tempatan di pasaran negara.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, pelaksanaan operasi itu adalah hasil daripada inisiatif yang dimulakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang mengadakan perjumpaan khas bersama MARDI.
“Sejak 10 Mac, operasi ini dijalankan dengan segera bagi memastikan penguatkuasaan terhadap aktiviti percampuran beras ini di pasaran.
“Objektif utama OPS CAMPUR adalah untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan mereka menerima beras yang berkualiti serta mengikut gred yang dibayar.

“Ini adalah usaha bersama bagi memastikan bekalan beras di negara ini adalah mengikut piawaian dan tidak terjejas oleh amalan perdagangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, OPS CAMPUR melibatkan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap beras tempatan dan import yang dijual di pasaran.
“Sehingga kini, sebanyak 213 premis, pembungkus, dan kilang telah diperiksa, dengan 48 kes disiasat.
“Sampel-sampel beras yang dirampas bernilai lebih RM15,000 telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan MARDI untuk ujian lanjut bagi menentukan kualiti dan jenis beras tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa operasi ini melibatkan tiga agensi utama, iaitu KPDN, MARDI, dan Jabatan Kimia Malaysia.
Katanya, KPDN bertanggungjawab untuk mengambil sampel daripada premis-premis yang dikenal pasti, MARDI akan melakukan ujian bagi mengenal pasti DNA beras tersebut, manakala Jabatan Kimia akan memeriksa kandungan dan peratusan beras hancur, yang boleh mempengaruhi harga pasaran.
“OPS CAMPUR tidak hanya tertumpu kepada isu percampuran beras import dan tempatan, tetapi juga untuk memastikan bahawa kualiti beras yang dipasarkan memenuhi piawaian, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.
“Sekiranya terdapat kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), individu yang terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, manakala bagi kesalahan kedua atau lebih, denda boleh mencecah RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun, bagi syarikat yang terlibat, denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan kedua,” tambahnya.
Azman turut menyeru pihak industri dan pembekal beras untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan operasi ini.
“Kami berharap semua pihak yang terlibat dalam industri padi dan beras negara memberi sokongan penuh untuk memastikan masalah ini dapat diselesaikan dan pengguna mendapat bekalan beras yang sepatutnya,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, KPDN turut membuka saluran untuk orang ramai mengemukakan aduan yang lengkap dan tepat melalui aplikasi WhatsApp di 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian pusat panggilan 1 800 886 800, dan aplikasi Ez Adu KPDN.
Ujarnya, OPS CAMPUR akan diteruskan secara berterusan, dengan sasaran untuk memeriksa semua premis yang terlibat dalam perniagaan beras di seluruh negara, termasuk di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, KPDN memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang cuba menggagalkan operasi ini.
“Komitmen kami adalah untuk memastikan hanya beras yang berkualiti sampai ke pasaran, dan kami akan teruskan operasi ini hingga semua premis yang terlibat dapat dipastikan mematuhi undang-undang,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |