
Kes muat naik kandungan sumbang Aliff Syukri ditangguh 14 Mac
SEPANG – Empat keputusan berkait kes memuat naik kandungan sumbang melibatkan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman ditangguhkan pada Jumaat ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang di sini, hari ini.
Aliff Syukri, 38, ketika ditemui media di luar mahkamah melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila kes itu ditangguhkan.

“Sedih jugalah. Sepatutnya saya dapat jawapan hari ini setelah lebih dua tahun menunggu bersama peguam saya. Malangnya ada pertukaran tarikh.
“Apapun, saya telah membuat dan ikut apa yang diarahkan pihak berkuasa. Saya beri kerjasama dan buat mana yang terbaik. Kalau menang, alhamdulillah. Kalau kalah, saya tetap redha,” katanya.
Sewaktu prosiding, peguam Awang Armadaya Awang Mahmud yang mewakili Aliff Syukri memberitahu, setelah disemak prosiding itu tetapkan pada 14 Mac 2025.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin berkata, sebelum ini mahkamah menetapkan keputusan akan diketahui hari ini.
“Bagaimanapun, kami difahamkan perkara itu dijadualkan semula pada Jumaat ini yang mana tarikh berkenaan telah dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pembelaan,” katanya.
Hakim Ahmad Fuad Othman mengambil maklum perkara itu dan menetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan pada tarikh tersebut.
Di luar mahkamah, peguam Hasshahari Johari Mawi pula berkata, keputusan bagi semua empat kes tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh tiga hari lagi iaitu Jumaat ini.

“Ini kes pihak pendakwaan dan ia adalah peringkat pertama yang kita selesaikan.
“Sekiranya mahkamah berpendapat bahawa tidak ada kes prima facie di dalam pertuduhan-pertuduhan yang telah dikemukakan, jadi keputusannya akan diberikan oleh mahkamah pada hari tersebut,” kata beliau.
Turut hadir seorang lagi peguam Aliff Syukri, Mohd Radzlan Jalaludin.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu @aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat itu memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri dan mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |