Berita SemasaPM X

Kerajaan yakin kepakaran dalam negara hadapi cabaran keselamatan siber – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran dalam negara dalam berhadapan cabaran keselamatan siber, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Nashrul berkata, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan tentang kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara.

“Keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.

“Justeru, kerajaan menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber bekerjasama dengan kerajaan agar eko sistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Menurut Nashrul, Perdana Menteri mengambil maklum dan berbincang mengenai tiga pembentangan iaitu situasi semasa keselamatan siber negara di mana secara umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 – 2024.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat, status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] di mana pelaksanaan Akta 854 ini terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) dan pakar keselamatan siber.

Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama NACSA, Council of Europe dan INTERPOL berhubung jenayah siber yang dipersetujui diadakan pada bulan Mei 2025.

Menurut Nashrul lagi, Perdana Menteri berkata, ancaman siber berada pada tahap tinggi sejajar kebergantungan pelbagai aspek kehidupan yang memerlukan ekosistem dan prasarana keselamatan siber yang menyeluruh.

“Kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button