
DBKL keluar kompaun terhadap penjaja tanpa lesen, warga asing
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen dan penjaja warga asing di Jalan Damanlela, Segambut, di sini hari ini.
Operasi itu bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang serta mengekang aktiviti perniagaan haram yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, DBKL memaklumkan, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Selain itu, satu kes tindakan sita telah dikenakan terhadap penjaja yang didapati beroperasi tanpa kebenaran, manakala satu lagi kompaun tambahan dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Tindakan tegas itu diambil bagi memastikan kawasan sekitar tidak terjejas akibat aktiviti penjajaan haram yang boleh mengundang kesesakan serta masalah kebersihan.
“Pasukan operasi JIMKL turut membuat tangkapan terhadap tiga warga asing yang didapati menjalankan perniagaan tanpa dokumen yang sah.
“Kesemua barangan yang disita dalam operasi ini telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan rekod dan dokumentasi,” menurut kenyataan itu.
DBKL memberi jaminan bahawa penguatkuasaan dan pemantauan akan dilakukan secara berkala, terutama di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan aktiviti penjajaan haram.
Orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan aktiviti penjajaan tanpa lesen digalakkan untuk menghubungi DBKL menerusi pautan berikut https://adukl.dbkl.gov.my/.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |