
All England: Hannah ucap selamat maju jaya kepada semua atlet badminton negara
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain badminton negara yang akan beraksi dalam saingan badminton All England bermula hari ini di Birmingham.
Hannah berkata, pengalaman yang dimiliki oleh pemain negara, menjadi elemen penting dalam menghadapi saingan, sekali gus berpotensi mengakhiri kemarau gelaran kejohanan berstatus Super 1,000 itu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain negara kita. Kita mempunyai barisan kejurulatihan baharu dan ramai pemain profesional yang akan beraksi mewakili Malaysia.
“Saya percaya mereka memiliki kemahiran yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketenangan ketika berada di gelanggang untuk mencapai kejayaan,” katanya selepas merasmikan Stadium Pickleball KWC di ibu negara, semalam.
Pada kempen kali ini, Malaysia akan menampilkan dua wakil dalam acara perseorangan lelaki iaitu Leong Jun Hao serta pemain profesional, Lee Zii Jia.
Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada acara beregu lelaki dengan enam pasangan negara bakal beraksi, antaranya gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta pasangan lain seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, dan Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Dalam acara beregu wanita, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah bersedia menggalas cabaran di kejohanan berprestij itu.
Bagi kategori beregu campuran, lima pasangan negara turut beraksi iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan ini adalah menerusi Lee Zii Jia yang menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark empat tahun lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |