
PM arah PETRA kemuka cadangan guna air hujan hadapi kemarau
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mengemukakan cadangan bagi memanfaatkan air hujan bagi menjamin bekalan air negara ketika musim kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, arahan itu disampaikan Perdana Menteri dalam pertemuannya bersama pengurusan tertinggi PETRA hari ini.
“Perdana Menteri meminta kita mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu mengenai langkah yang boleh diambil kerana negara kita menerima banyak hujan, tetapi pada masa yang sama berdepan dengan musim kemarau.
“Beliau mahu kita mencari kaedah terbaik untuk menyimpan air supaya boleh digunakan ketika musim kemarau dan untuk keperluan masa depan,” katanya selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Beliau, menjelaskan bahawa kajian berkaitan perkara itu sebenarnya sudah berjalan dan kini berada dalam fasa pengumpulan maklumat untuk tindakan seterusnya.
“Kita akan mengkaji dan melihat apakah yang boleh kita laksanakan dari segi projek dan tindakan yang perlu diambil. Apa pun tindakan yang bakal dilaksanakan, ia memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menekankan isu tenaga dan menggesa PETRA untuk menangani cabaran yang dihadapi rakyat serta sektor perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Perdana Menteri mahu memastikan bahawa sebarang tarif yang ditetapkan tidak membebankan rakyat serta mengambil kira kedudukan PMKS,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 300 warga PETRA dalam Program Ihya Ramadan di Dewan Baiduri, Menara PETRA.
Program sebagai platform untuk Perdana Menteri menyantuni warga PETRA serta mengisi Ramadan dengan aktiviti kerohanian dan majlis ilmu.
Antara pengisian program termasuk Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Nabil Ahmad dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk “Ramadan: Syukuri Nikmat Air dan Tenaga”.
Perdana Menteri kemudiannya menunaikan solat zohor secara berjemaah bersama warga PETRA.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |