PendapatRencana

Pemerkasaan martabat wanita dalam sektor pekerjaan

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

MARTABAT dan darjat seorang wanita adalah sangat mulia. Wanita diangkat sebagai ibu yang dihormati, isteri yang dimuliakan dan anak perempuan yang dilindungi.

Pada tanggal 8 Mac setiap tahun, dunia menyambut Hari Wanita Sedunia sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan peranan wanita dalam pelbagai sektor.

Di Malaysia dengan tema sambutannya pada tahun ini Wanita Beraspirasi Membina Legasi, usaha memperkasa sumber manusia wanita di tempat kerja menjadi agenda penting dalam memastikan hak, peluang dan layanan adil serta peningkatan prestasi dan pembangunan kerjaya mereka.

Sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini bertemakan Wanita Beraspirasi Membina Legasi.

Statistik menunjukkan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih ketinggalan berbanding lelaki.

Sehingga Jun 2023, 56.3 peratus wanita memasuki sektor pekerjaan, meningkat sedikit daripada 55.5 peratus pada tahun 2020 dan 55.9 peratus pada 2022.

Namun, angka ini masih jauh di belakang kadar penyertaan tenaga buruh lelaki yang berada pada 82.9 peratus.

Lebih membimbangkan, Malaysia berada di tangga kelapan daripada 10 negara ASEAN dalam penyertaan tenaga buruh wanita di belakang negara seperti Laos (74.8 peratus), Kemboja (74.0 peratus), Vietnam (69.6 peratus), Singapura (59.4 peratus) dan Thailand (59 peratus).

Dalam sektor awam, peratusan wanita yang kembali bekerja mencapai 38.8 peratus. Namun, di sektor swasta, penyertaan wanita dalam jawatan pembuat keputusan masih belum mencapai sasaran 30 peratus.

Situasi ini menunjukkan perlunya usaha berterusan untuk meningkatkan keterlibatan wanita dalam peringkat kepimpinan dan pembuatan keputusan.

Diskriminasi gender di tempat kerja masih menjadi isu utama. Kajian oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Vase.ai pada 2020 mendapati bahawa 56 peratus wanita di Malaysia pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi di tempat kerja.

Ini termasuk soalan mengenai status perkahwinan atau perancangan keluarga semasa temuduga, kenaikan pangkat diberikan kepada rakan sekerja yang kurang berkelayakan dan diminta melakukan tugas yang tidak diberikan kepada pekerja lelaki yang dianggap tidak mencabar.

Golongan wanita masih berdepan isu diskriminasi di tempat kerja.

Diskriminasi sebegini bukan sahaja menjejaskan moral dan motivasi wanita, tetapi juga menghalang mereka daripada mencapai potensi penuh dalam kerjaya.

Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif.

Antaranya melanjutkan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 Disember 2027 dan meningkatkan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak.

Langkah-langkah ini bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke pasaran kerja dan memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga.

Dari perspektif Islam, wanita diberikan kedudukan yang tinggi dan hak untuk bekerja serta berperanan aktif dalam masyarakat.

Islam menekankan keadilan dan kesaksamaan, memastikan wanita mendapat hak dan layanan yang adil di tempat kerja.

Rasulullah SAW sendiri menegaskan penghormatan kepada wanita dengan sabda Baginda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Penghormatan Rasulullah SAW ini mencakupi pengiktirafan peranan wanita dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan dan pendidikan.

Oleh itu, adalah penting bagi majikan dan masyarakat untuk memastikan persekitaran kerja yang kondusif, bebas daripada diskriminasi dan memberi peluang sama rata kepada wanita untuk berkembang dalam kerjaya mereka.

Selain itu, program pembangunan dan latihan khusus untuk wanita perlu diperbanyakkan. Ini termasuk latihan kepimpinan, pengurusan dan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Dengan menyediakan platform dan peluang sebegini, wanita dapat meningkatkan kompetensi dan keyakinan diri, seterusnya menyumbang secara lebih signifikan kepada organisasi dan ekonomi negara.

Penyediaan kemudahan sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja juga memainkan peranan penting.

Dengan adanya kemudahan ini, wanita dapat bekerja dengan lebih tenang tanpa perlu risau tentang penjagaan anak, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan mereka di tempat kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 pada 8 Mac lalu.

Dalam era digitalisasi, wanita juga perlu didorong untuk menceburi bidang teknologi dan sains.

Penyertaan aktif wanita dalam sektor-sektor ini bukan sahaja memperkaya perspektif dan inovasi tetapi juga memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global.

Kesimpulannya, usaha memperkasa sumber manusia wanita di tempat kerja memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya kerajaan, majikan dan masyarakat.

Dengan memastikan hak, peluang dan layanan yang adil, serta menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan, wanita dapat berkembang dan menyumbang secara optimum dalam sektor pekerjaan.

Ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup mereka tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara secara keseluruhan.

Wanita umpama cahaya gemilang,
Menjadi penyeri dalam kehidupan,
Lembut hatinya, teguh bertahan,
Keimanan dijadikan pegangan.

Wahai wanita, engkau istimewa,
Dalam kelembutan ada wibawa,
Keimanan dan ilmu jadi cahaya,
Menyuluh jalan ke syurga-Nya.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button