Berita Semasa

Kay’s Steak & Lobster raikan pesakit Talasemia buka puasa

SUBANG JAYA – Seramai 30 pesakit talasemia diraikan dalam Majlis Buka Puasa anjuran Kay’s Steak & Lobster di Putra Heights di sini pada 6 Mac lalu sebagai usaha menyantuni golongan tersebut dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit itu.

Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd. Khalid berkata, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya yang telah memasuki tahun keempat sejak 2022.

“Sebelum ini, kami banyak meraikan anak-anak yatim, namun pada tahun ini kami memilih untuk menampilkan kelainan dengan menghimpunkan pejuang talasemia.

“Saya sendiri merupakan pesakit talasemia dan sangat memahami cabaran yang dilalui mereka, malah ada juga beberapa kakitangan restoran ini yang turut menghidapnya,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

AHLI-AHLI TAM mengambil peluang bergambar kenangan di Kay’s Steak & Lobster, Putra Heights.

Beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Thalassaemia Malaysia (TAM) yang diterima oleh Presidennya, Irham Hakimi Mohd. Hamdan sebagai tanda sokongan kepada usaha persatuan dalam membantu pesakit talasemia di negara ini.

Dalam majlis itu, para pesakit turut dijamu dengan hidangan istimewa Kay’s Steak & Lobster seperti Nasi Lemak Udang Kara Berempah dan Nasi Lemak Rendang Rusuk, selain minuman laicikang, kurma serta pelbagai kuih-muih tradisional.

Aizuddin turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pesakit talasemia yang perlu menjalani pemindahan darah setiap tiga minggu di Hospital Ampang.

“Walaupun ada cabaran, ia tidak bermakna pesakit talasemia tidak boleh menjalani kehidupan seperti orang lain. Saya sendiri masih aktif bersenam dan menjaga kesihatan.

ANTARA hadirin ahli TAM yang diraikan dalam program iftar CSR tahunan Kay’s Steak & Lobster, Putra Heights dengan sajian istimewa Ramadan, Nasi Lemak Udang Kara Berempah dan Nasi Lemak Rendang Rusuk.

“Presiden TAM sendiri seorang mutawif dan ejen pelancongan yang sering ke luar negara, khasnya Makkah dan Madinah. Ini membuktikan bahawa talasemia bukan penghalang untuk kita terus berjaya,” katanya lagi.

Kay’s Steak & Lobster yang mula beroperasi sejak 2013 terkenal dengan hidangan stik dan udang kara premium.

Restoran itu kini mempunyai empat cawangan iaitu di Putra Heights, Putrajaya, Ampang dan Elmina Temu, Shah Alam yang baharu dirasmikan pada 4 Februari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button