
Kakak pemandu Honda Jazz sebabkan kematian dua beradik tampil mohon maaf, akui emosi dalam keluar kenyataan
KUALA LUMPUR – Kakak kepada pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di Senawang, Negeri Sembilan, Khamis lalu, tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan yang dibuatnya susulan insiden terbabit.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Nur Athirah Najwa, dia mengakui kesilapannya dalam mengeluarkan hantaran yang menyinggung perasaan serta mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terbabit dalam kemalangan di Senawang.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas ‘posting’ (hantaran) dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
“Saya sedar saya muat naik hantaran dan komen itu dalam keadaan yang emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok.
@bungaorkeddddddddddd
Terdahulu, tular di media sosial beberapa tangkap layar kenyataan yang dimuat naik oleh Nur Athirah, yang seakan mempertahankan adiknya susulan insiden tersebut.
Tindakannya itu kemudian menimbulkan kemarahan netizen yang mengkritik pemandu Honda Jazz terbabit kerana memandu dengan cara berbahaya, mengakibatkan dua nyawa terkorban.
Pada 6 Mac lalu, media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Negeri Sembilan.
Dalam kejadian 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss disahkan maut di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan melanggar motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi motosikal Honda Vario.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan untuk tampil membantu siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |