
Jaga lisan, setiap ucapan akan dipertanggungjawabkan
KUALA LUMPUR – Sempena Ramadan, umat Islam diingatkan agar menjaga lisan kerana setiap pertuturan dan ucapan yang keluar dari mulut akan dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT.
Perkara itu dimaklumkan oleh Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pengurusan Siyasah Syar’iyyah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar melalui satu perkongsian video di Facebook.

“Apa sahaja yang diucapkan oleh mulut kita tidak akan terlepas daripada catatan malaikat Rakid dan Atid.
“Di dalam Islam, ada ucapan yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Sama ada perkara itu perkara yang baik ataupun perkara yang tidak baik,” katanya melalui video berdurasi satu minit di laman Facebook rasmi JAKIM itu.
Tambah beliau, perkara itu disentuh dan disebut oleh Allah SWT di dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawal yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
Menurut beliau lagi, terdapat dua ucapan yang bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah terhadap manusia.
“Pertama, ucapan yang membawa kepada kebaikan, membawa kepada perdamaian, membawa kepada nasihat dan mengajak perkara-perkara yang baik.
“Dan kedua, ucapan yang berunsur makian, fitnah, mengumpat, ghibah dan sebagainya.
“Menerusi firman tersebut, ia memberikan kepada kita gambaran bahawasanya semua perkara ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak,” tegasnya.
Justeru, sebagai umat Islam kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap kata yang diungkapkan terutama pada bulan mulia ini agar tidak terjerumus dalam dosa yang boleh membawa kepada kemurkaan-Nya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |