
Institusi pondok berpotensi bantu kerajaan bendung fahaman ekstremisme
SUNGAI PETANI – Institusi pondok berpotensi menjadi rakan strategik dalam usaha membanteras fahaman ekstremisme.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, pihaknya sedang mengkaji cadangan itu kerana kerjasama sedemikian dapat menyemai pemahaman Islam yang lebih inklusif serta menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.
“Saya melihat sendiri bagaimana institusi pondok ini bukan sahaja meneruskan tradisi ilmu Islam, tetapi juga berfungsi sebagai benteng akidah umat Islam sejak zaman penjajahan sehingga kini.
“Mereka bergerak tanpa peruntukan tetap kerajaan, hanya bergantung kepada sumbangan zakat dan derma.
“Saya berpendapat institusi pondok ini boleh menjadi rakan strategik kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , khususnya dalam membendung fahaman ekstremisme, membina kefahaman Islam yang lebih inklusif, dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Sultan Muzaffar Shah, di sini malam tadi.
Tambahnya, KDN juga akan melihat peranan institusi pondok dalam menangani isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) yang sering dimanipulasi di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
Sementara itu, mengulas mengenai isu kesesakan penjara, beliau berkata perkara itu masih menjadi antara cabaran terbesar bagi diatasi di kementeriannya.
Saifuddin berkata, ketika ini kapasiti penjara adalah seramai 72,000 orang, namun jumlah banduan sudah mencecah hampir 80,000 orang, dengan tambahan 6,000 orang berada dalam komuniti.
Sehubungan itu, Beliau menggesa Jabatan Penjara supaya lebih agresif melaksanakan hukuman alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemenjaraan sepenuhnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |