
Agihan makanan gelandangan terus berleluasa
BULAN Ramadan sering dikaitkan dengan amalan bersedekah, termasuk pengagihan makanan kepada golongan kurang bernasib baik yang banyak diadakan di celah-celah ibu kota.
Bagaimanapun, agihan makanan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan terus menimbulkan perdebatan.
Walaupun niat mereka murni, pelaksanaan tanpa penyelarasan yang baik boleh mencetuskan isu kebersihan, kesesakan lalu lintas dan ketidakselesaan kepada masyarakat sekeliling.

Terbaharu, tular satu video menunjukkan seorang pendakwah bebas yang mengadakan iftar jalanan dengan memberi makan buat golongan gelandangan dan yang memerlukan di ibu kota.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat satu periuk besar nasi beriani dan lauk berupa ayam masak merah disajikan kepada orang ramai yang memerlukan.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun menetapkan garis panduan bagi pengagihan makanan kepada gelandangan dan golongan yang memerlukan.
Antara langkah yang disarankan ialah jalinan kerjasama antara badan kebajikan berdaftar serta menggunakan pusat pengagihan khas bagi memastikan ia bersifat sistematik dan kebersihan lebih terjaga.
Pengasas NGO Food4U, Tony Lian Kam Leong mengakui, ketika bulan Ramadan terlalu ramai orang yang datang untuk memberi makanan kepada gelandangan.

“Ada yang datang sewaktu berbuka dan mengagihkan makanan yang mereka bawa sendiri. Biasanya selepas itu, terdapat banyak lebihan makanan sampai berterabur di tepi jalan.
“Apabila gelandangan ini sudah kenyang, makanan itu akan dibuang sahaja. Maka berlakukan pembaziran. Ini tidak sepatutnya berlaku. Kenapa kita nak buat begitu, tak baik.
“Sesiapa yang nak beri makanan berbuka puasa, datang awal ke pusat-pusat gelandangan yang disediakan pihak DBKL,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.
Tambah Uncle Tony lagi, beliau meminta kerjasama daripada orang perseorangan atau NGO lain yang baik hati ingin menderma makanan dan memberi bantuan agar menyalurkannya mengikut saluran yang betul.

“Datanglah ke tempat yang telah disiapkan kerajaan ini untuk memberi bantuan dan makanan. Janganlah bagi di tepi jalan.
“Nampak tak elok dan tak tak berapa sesuai dari segi kesihatan dan kebersihan. Bagi NGO yang mahu membantu, daftarlah dengan DBKL atau Yayasan Kebajikan Negara sebagai tanda sokongan buat komuniti gelandangan ini.
“Marilah kita sama-sama berganding bahu melakukan tugas ini. Kita akan buka pintu, jemput kalian datang. Jangan hanya datang sekali sekali pada waktu-waktu tertentu. Kita sudah ada jadual yang boleh diikuti,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, Naib Yang DiPertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Laili Ismail berkata, perbuatan memberi makanan kepada gelandangan tanpa berdaftar dengan pihak DBKL sukar untuk dikawal.

“Ini kerana secara umum, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi dari segi moral, ia tidak sesuai kerana melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Sebenarnya saya sedih juga bila mereka jadikan perkara itu seperti pesta. Sama ada pempengaruh, individu tertentu ataupun NGO yang lain, apabila ia dibuat tanpa pantauan pihak berwajib, keadaan akan tidak terkawal.
“Justeru, koordinasi dalam agihan makanan buat gelandangan terutama di bulan puasa ini perlu dilaksanakan sebaiknya,” kata Laili.

Seorang pemuda, Abdullah Asy-Syarqawi Mohd Azhar, 23, pula berkongsi, apabila bulan Ramadan, memang ramai orang yang turun padang untuk membantu golongan yang susah.
“Saya faham semua orang mahu merebut ganjaran pahala memberi makan orang berpuasa. Tetapi apabila makanan diletakkan di merata tempat tanpa pengawasan, ia boleh menjejaskan pemandangan dan menimbulkan bau kurang menyenangkan apabila sampahnya dibiarkan begitu saja.
“Justeru, saya harap pihak berkuasa tempatan mengambil langkah lebih tegas termasuk mengenakan denda buat mereka yang melanggar peraturan bagi memastikan pengagihan makanan dilakukan dengan lebih tersusun,” kata Abdullah, seorang chef di sebuah restoran stik terkenal di ibu kota.
Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Kolej Islam As Sofa, Ustaz Muhammad Dzul Rahman Othman berkata, membantu golongan yang memerlukan adalah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam, namun aspek kebersihan dan keizinan juga perlu diberi perhatian.

“Niat bersedekah itu sangat baik, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Namun, Islam juga menekankan kebersihan.
“Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Jadi, jika kita mahu membantu, pastikan makanan yang diberikan berkualiti, tempat agihan bersih dan lebihan makanan tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Paling utama, perlu dapatkan kebenaran pihak berkuasa agar apa yang kita dilakukan tidak mengundang kesalahan sekali gus menjadi dosa buat pelakunya.

“Ini kerana niat yang baik tetap tidak menghalalkan cara melakukan sesuatu pekerjaan tersebut termasuklah memberi makan kepada orang miskin dan gelandangan” jelas beliau.
Kesimpulannya, dengan adanya penyelarasan yang baik, bantuan yang diberikan bukan sahaja sampai kepada golongan yang memerlukan tetapi juga dapat memastikan ibu kota kekal bersih dan teratur sepanjang bulan Ramadan.
Harus diingat, keikhlasan dalam memberi perlu disertai dengan tanggungjawab bagi menjamin kesejahteraan semua pihak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment