Berita SemasaJenayah & Mahkamah

‘Motor keluar simpang bila lampu dah hijau’ – Saksi kemalangan Matahari Heights

INSIDEN kemalangan ngeri yang meragut nyawa dua remaja selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta Honda Jazz pada malam Jumaat lalu masih menjadi bualan di media sosial.

Semalam, seorang lelaki yang dikenali sebagai Edy Noor Reduan membuat pendedahan di TikTok dan mendakwa dirinya menjadi saksi kejadian malang yang berlaku di persimpangan Matahari Heights, Senawang, Negeri Sembilan tersebut.

“Saya sebenarnya tak nak ulas kejadian tersebut sebab saya trauma. Saya berada paling depan, dekat lampu isyarat itu. Kejadian itu memang berlaku depan mata saya.

Keadaan kereta Honda Jazz yang remuk teruk akibat kemalangan itu dan kemudian melanggar sebatang pokok.

“Saya nampak, saya jadi saksi macam mana motor itu betul-betul ikut undang-undang. Motor yang keluar simpang itu, saya nampak lampu isyarat di sebelah sana dah hijau, baru motor itu keluar dan dia dilanggar.

“Satu letupan berlaku depan mata saya. Umur saya panjang, sebab kalau kereta Jazz itu elak ke kanan, memang kena kereta saya dulu,” jelas beliau menerusi satu video perkongsian yang telah menerima lebih 1.9 juta tontonan.

Menurut Edy, beliau nampak letupan kuat sebaik perlanggaran itu berlaku.

“Saya ingat kereta itu yang terbakar. Tapi bukan, rupanya motor yang terbakar. Kereta itu langgar pokok.

“Saya minta maaf lambat ceritakan perkara ini. Benda itu berlaku depan mata saya. Saya trauma dan baru sekarang baru ada keberanian untuk bercerita,” ujarnya.

Melalui video itu juga, Edy turut menegur tindakan salah seorang ahli keluarga pemandu Honda Jazz itu yang didakwa memuat naik hantaran tidak sensitif di media sosial.

“Saya cuma nak jadi saksi dan nak beritahu motor yang keluar dari simpang tu tak salah langsung. Lampu dah nampak hijau, baru motor tu keluar dan dilanggar dengan dentuman yang sangat kuat. Meletup diikuti dengan laungan Allahuakbar oleh beberapa orang di sekitar.

Status yang dimuat naik oleh individu dipercayai kakak pemandu Honda Jazz itu turut mengundang kecaman netizen dan ditegur Edy agar lebih sensitif.

“Jadi kepada kakak yang langgar tu, janganlah cerita soal takdir, soal ujian. Adik kau yang langgar. Aku nampak depan mata aku, dia langgar lampu merah dah beberapa saat, dia langgar. Sangat laju dan nyawa aku sendiri hampir melayang,” cerita beliau lagi.

Menurut Edy, apabila kejadian itu berlaku, beliau ambil telefon dengan niat untuk merakamnya dan buat live kerana percaya benda itu kemungkinan besar akan viral.

“Tapi bila dah buka pintu kereta, saya turun. Bila nak mula ambil gambar, saya tengok keadaan jenazah yang bagi saya tak mampu nak gambarkan dan tak kuat nak teruskan. Saya naik kereta balik dan terus jalan,” jelasnya.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8,30 malam Khamis lalu, ia membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.

Perlanggaran kuat menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian,

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan akan menjurus kepada kesalahan-kesalahan di bawah akta tersebut termasuk tiada lesen memandu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button