Luar Negara

Konflik Syria memuncak, ratusan dilaporkan maut

LATAKIA, Syria – Konflik Syria semakin memuncak apabila ratusan dilaporkan maut, termasuk orang awam dalam pertempuran di antara anggota tentera kerajaan sementara dengan pejuang yang setia kepada bekas pemerintah, Bashar al-Assad.

Situasi ini memaksa pihak kerajaan menghantar pasukan tambahan ke bandar-bandar pantai di barat laut negara itu, di mana pertempuran sengit berlaku, lapor al-Jazeera.

Setakat semalam, pasukan keselamatan menyatakan mereka berjaya menguasai semula sebahagian besar kawasan di wilayah Tartous dan Latakia, di mana penyokong setia Bashar al-Assad melancarkan serangan bersepadu terhadap pusat pemeriksaan, konvoi keselamatan, dan posisi ketenteraan sejak Khamis.

Menurut agensi berita SANA yang memetik sumber pegawai keselamatan, selepas serangan itu, ramai orang menuju ke kawasan pantai untuk membalas dendam terhadap serangan ke atas pasukan keselamatan kerajaan.

Tambahnya, tindakan itu menyebabkan berlakunya “beberapa pertempuran kecil, dan kami sedang berusaha untuk menghentikannya.”

Sementara itu, perintah berkurung masih berkuat kuasa di Latakia dan kawasan pantai lain yang didiami oleh masyarakat minoriti Alawite, penyokong setia Bashar al-Assad sejak sekian lama.

Di tengah-tengah pertempuran yang berterusan, puluhan orang awam serta anggota bekas rejim dan keluarga mereka mencari perlindungan di pangkalan Khmeimim milik Rusia di kawasan luar bandar Latakia.

Dalam kenyataan awam pertamanya sejak peningkatan keganasan, Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa kelmarin menyeru para pejuang supaya meletakkan senjata dan menyerah diri ‘sebelum terlambat.”

Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan pembangkang dalam penyingkiran Bashar al-Assad selepas hampir 14 tahun perang menegaskan, pasukan kerajaan akan “memburu saki-baki rejim yang tumbang” dan membawa mereka ke mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button