
SETIAP tahun pada tarikh 8 Mac, Hari Wanita Sedunia disambut sebagai tanda penghargaan terhadap kaum Hawa di atas sumbangan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.
Dalam Islam, wanita bukan sahaja dimuliakan malah diiktiraf sebagai seindah-indah perhiasan dunia.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dunia ini adalah perhiasan dan seindah-indah perhiasan ialah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, wanita merupakan ciptaan Allah yang sangat istimewa, baik dari segi fizikal mahupun spiritual.
“Keistimewaan ini menuntut wanita untuk menjaga keseimbangan antara luaran dan dalaman demi mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah.
“Allah SWT telah menganugerahkan wanita dengan keunikan tersendiri, sama ada dari segi rupa zahir mahupun batin.
“Namun, keindahan sebenar wanita bukanlah semata-mata pada kecantikan fizikal, tetapi pada keperibadian dan ketaatannya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Menurut Ustazah Rohamiah lagi, wanita solehah diumpamakan sebagai perhiasan yang sangat cantik dan untuk mencapai darjat ini, mereka perlu menjaga beberapa perkara.
“Antaranya ialah menjaga pergaulan, pemakaian yang menutup aurat, percakapan dan akhlak diri. Wanita yang berpegang teguh kepada perintah Allah akan lebih dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat.
“Selain itu, golongan wanita perlu mengawal emosi dengan baik. Wanita tidak boleh terlalu beremosi sehingga menjatuhkan martabat diri sendiri.
“Emosi yang tidak terkawal boleh melahirkan tindakan yang kurang bijak dan memberi kesan negatif terhadap kehidupan,” ujar beliau.

Tambahnya, Allah SWT juga menegaskan dalam Al-Quran tentang pentingnya peranan wanita melalui surah yang dinamakan khusus untuk mereka iaitu Surah An-Nisa’ yang bermaksud ‘Wanita’.
“Ini menunjukkan betapa Islam memberi pengiktirafan amat besar terhadap kaum Hawa yang sepatutnya perlu kita syukuri dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Ustazah Rohamiah memberitahu, terdapat satu hadis Nabi SAW yang memberi amaran kepada wanita.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar, kerana aku melihat kaum wanitalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka.”
Seorang wanita bertanya, “Kenapa kami yang paling ramai di neraka, ya Rasulullah?”
Baginda SAW menjawab: “Kerana kamu banyak mengutuk dan tidak berterima kasih kepada suami. Aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama yang lebih mampu mengalahkan lelaki yang tegas daripada kamu sekalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengulas lanjut, beliau menyatakan apa yang disebut Rasulullah SAW mengenai wanita benar-benar berlaku dalam dunia moden hari ini.
“Wanita kini semakin berdikari. Tidak seperti zaman dahulu di mana wanita bergantung sepenuhnya kepada lelaki. Sekarang ramai wanita mempunyai pendapatan sendiri dan hidup selesa walaupun tanpa kehadiran suami.
“Di samping itu, pengaruh media sosial membuatkan golongan wanita hari ini lebih terdedah kepada budaya luar yang kadang-kadang bercanggah dengan nilai Islam.
“Trend yang menunjukkan wanita berani melawan suami seolah-olah sesuatu yang dibenarkan dalam masyarakat moden. Perkara ini sangat membimbangkan kita apabila isteri contohnya begitu mudah membuka aib suami di media sosial tanpa sedar mereka telah mengundang murka Allah SWT,” tegas Ustazah Rohamiah lagi.

Tidak terkecuali apabila peranan wanita semakin menonjol dan diperlukan dalam pelbagai sektor, menyebabkan mereka lebih berani menyuarakan pendapat dan kadangkala mencabar kepimpinan suami dalam rumahtangga.
Justeru, sebagai wanita Muslimah, Ustazah Rohamiah menasihatkan agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama.
“Pesan ini juga buat diri saya sendiri agar kita kaum wanita perbanyakkan bersedekah dan beristighfar sebagai tanda muhasabah diri serta berusaha untuk memperbaiki akhlak dan hubungan dengan suami agar rumah tangga dipenuhi ketenangan dan kasih sayang,” pesan beliau.

Hakikatnya, wanita adalah ciptaan Allah yang sangat istimewa. Mereka bukan sahaja memainkan peranan besar dalam keluarga dan masyarakat, tetapi juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam.
Seorang wanita yang menjaga agama, akhlak dan peranannya sebagai isteri serta ibu akan menjadi seindah-indah perhiasan dunia.
Jom, sama-sama kita berubah menjadi wanita solehah. Moga-moga ia menjadi asbab kita beroleh Jannah. Insya-Allah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |