
Shitsui Hokaishi: Tukang gunting wanita tertua di dunia, masih mahu berbakti
PADA usia 108 tahun, kebanyakan orang mungkin sudah lama menikmati masa persaraan, berehat di rumah bersama keluarga atau mengenang perjalanan hidup panjang yang telah dilalui.
Namun, berbeza dengan Shitsui Hokaishi. Baginya usia hanyalah angka.
Wanita langsing berambut putih dari Jepun itu masih setia berdiri di belakang kerusi pelanggannya, menggunting rambut dengan penuh teliti dan kasih sayang.

Menurut Hokaishi, gunting dan sikat bukan sekadar alat, tetapi simbol dedikasi yang telah menjadikannya pemegang rekod dunia sebagai tukang gunting wanita tertua di dunia.
Baru-baru ini, Guinness World Records secara rasmi mengiktiraf Hokaishi sebagai tukang gunting wanita tertua di dunia, satu penghormatan yang amat membanggakan beliau.
“Saya sangat terharu dan dipenuhi kegembiraan,” katanya dalam satu sidang akhbar di kampung halamannya di Nakagawa, wilayah Tochigi.
Lebih mengagumkan, beliau tidak bercadang untuk bersara dalam masa terdekat, sebaliknya memberitahu akan terus bekerja.

“Tahun ini, saya akan mencapai usia 109 tahun. Jadi saya akan terus bekerja sehingga mencecah 110 tahun,” ujarnya sambil tersenyum yakin.
Dilahirkan pada 10 November 1916 dalam sebuah keluarga petani di Nakagawa, minat Hokaishi terhadap dunia dandanan rambut bermula sejak usia muda.
Pada usia 14 tahun, beliau nekad meninggalkan kampung halaman untuk ke Tokyo bagi mempelajari seni menggunting rambut sebagai seorang perantis.
Usaha dan kegigihannya membuahkan hasil apabila beliau memperoleh lesen tukang gunting pada usia 20 tahun. Bersama suaminya, mereka membuka sebuah salun dan membina kehidupan bahagia bersama dua orang anak mereka.

Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama. Suaminya terkorban dalam perang antara Jepun dan China pada tahun 1937, meninggalkan Hakoishi sebagai ibu tunggal yang perlu menyara anak-anaknya.
Ujian hidup semakin berat apabila salunnya musnah dalam serangan pengeboman kebakaran oleh tentera Amerika Syarikat pada 10 Mac 1945.
Mujurlah, beliau dan anak-anaknya telah dipindahkan ke kawasan lain di wilayah Tochigi sebelum tragedi itu berlaku.
Walaupun menghadapi cabaran yang besar, semangatnya tidak pernah pudar. Selepas lapan tahun, beliau bangkit semula dan membuka salun baru bernama Rihatsu Hokaishi di kampung halamannya.

Sepanjang sembilan dekad dalam dunia gunting rambut, Hokaishi percaya bahawa kejayaannya bukan datang daripada dirinya sendiri, tetapi hasil sokongan pelanggan setia.
“Saya dapat bertahan selama ini hanya kerana pelanggan-pelanggan saya.
“Bagi saya, setiap guntingan bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu seni dan tanggungjawab,” ucapnya.
Apabila ditanya, apakah rahsia kesihatan dan tenaga beliau yang luar biasa, Hakoishi berkongsi, beliau tidak pernah mengabaikan kesihatan fizikal dan mentalnya.
“Saya sentiasa aktif, berpegang pada disiplin kerja yang tinggi dan menjalani gaya hidup yang seimbang,” tuturnya.
Apa yang pasti, dedikasi Hakoishi terhadap kerja juga memainkan peranan besar dalam mengekalkan semangat dan keghairahannya pada kehidupan.

Di sebalik pengiktirafan global yang diterimanya, Hokaishi tetap merendah diri dan terus bekerja seperti biasa.
Selagi tangannya masih mampu menggenggam gunting dan menyikat rambut pelanggan, beliau akan terus mengabdikan dirinya kepada kerjaya yang dicintainya itu.
“Saya belum bersedia untuk meletakkan gunting saya,” tegasnya.
Dengan semangat dan keazaman yang luar biasa, tidak mustahil beliau akan terus memegang rekod tersebut untuk beberapa tahun lagi.
Kisah Shitsui Hokaishi bukan sekadar cerita tentang seorang wanita yang menempuh usia lanjut dengan ketabahan, tetapi juga satu inspirasi bahawa kecintaan terhadap sesuatu pekerjaan boleh memberikan seseorang semangat untuk terus hidup dan berbakti.
Selagi ada daya, Hokaishi akan terus menggunting rambut pelanggannya sekali gus membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus berkhidmat dan berkarya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |