
PICC agih 5,000 bungkus bubur lambuk sempena Ramadan
PUTRAJAYA – Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) meneruskan tradisi tahunan dengan mengagihkan 5,000 bungkus bubur lambuk secara percuma menerusi kaedah pandu lalu di lobi utama PICC sempena bulan Ramadan.
Program yang memasuki tahun ke-10 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) dengan kerjasama anak syarikatnya, Convention & Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd (Co-X).

Ketua Eksekutif Kumpulan PULSE Group, Abdul Rahim Md Junoh berkata, jumlah edaran bubur lambuk ditingkatkan daripada 3,000 bungkus tahun lalu kepada 5,000 bungkus tahun ini berikutan sambutan menggalakkan dan maklum balas positif daripada penduduk Putrajaya.
“Penambahan kuantiti itu membolehkan lebih ramai penduduk menikmati resipi istimewa bubur lambuk kami yang disediakan oleh cef berpengalaman. Selain itu, program ini juga menggalakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan antara kakitangan dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, resipi bubur lambuk PICC masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya, dengan jumlah bahan yang digunakan termasuk 200 kilogram (kg) beras dan lebih 80 kg daging yang dimasak dalam lapan periuk besar.
“Dalam masa sama, PICC turut menawarkan bufet Ramadan Cita Rasa Klasik, yang menampilkan lebih 120 hidangan Melayu klasik bermula 2 hingga 28 Mac 2025.
“Harga promosi ditawarkan sehingga 14 Mac, iaitu RM98 bagi dewasa dan RM49 bagi kanak-kanak,” katanya lagi.
Selain itu, sempena Kepengerusian ASEAN di Malaysia, PICC turut terlibat dalam Putrajaya Ramadan ASEAN Food Festival dengan kerjasama Putrajaya Holdings.
Festival itu berlangsung serentak di tiga lokasi lain, iaitu Pulse Grande Hotel, Double-Tree by Hilton Putrajaya Lakeside, dan The Everly Hotel Putrajaya bagi mengetengahkan pelbagai juadah tradisional dan kontemporari dari negara-negara ASEAN.
Program agihan bubur lambuk itu turut disertai Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud, yang hadir bagi menyempurnakan pengagihan kepada komuniti Putrajaya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |