Jenayah & Mahkamah

Lelaki warga emas maut dalam kejadian berbalas tembakan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas dengan 14 rekod jenayah dan dadah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.10 pagi ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan rondaan dengan dua kenderaan polis.

Menurutnya, polis mengesan sebuah motosikal Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek.

“Polis mengekori dan berjaya menahan motosikal itu di kawasan berhampiran.

“Namun, ketika anggota hendak keluar untuk melakukan pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa membalas tembakan sehingga keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumar berkata, lelaki berusia 63 tahun itu terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berhampiran suspek, bersama empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru,” katanya lagi.

Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah, termasuk satu kes di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu kes bawah Akta Senjata 1960 serta satu rekod masih dikehendaki polis.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam pada itu, Kumar menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah bagi membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button