
Cadillac sertai F1 sebagai pasukan ke-11 pada 2026
PARIS – Cadillac disahkan akan menyertai perlumbaan Formula 1 (F1) sebagai pasukan ke-11 bermula musim 2026 selepas mendapat kelulusan daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Pasukan itu akan diterajui oleh TWG Motorsports dan General Motors (GM), dengan Ferrari dijangka membekalkan enjin serta kotak gear pada peringkat awal sebelum GM mengambil alih pembangunan jentera sepenuhnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Formula 1, Stefano Domenicali berkata, penyertaan GM dalam sukan itu sebagai perkembangan penting bagi masa depan F1.
*”Seperti yang kami nyatakan pada November lalu, komitmen General Motors untuk membawa pasukan Cadillac ke dalam Formula 1 adalah satu langkah positif dan penting dalam evolusi sukan itu.
“Saya ingin berterima kasih kepada GM dan TWG Motorsports atas usaha keras mereka selama berbulan-bulan.
“Kami tidak sabar untuk menyambut kehadiran pasukan ini di atas grid pada 2026, yang pasti menjadi satu lagi musim menarik bagi Formula 1,”* katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, CEO TWG Motorsports, Dan Towriss berkata, lebih 300 individu terbabit dalam persiapan mendapatkan kelulusan pasukan tersebut dan usaha kini akan digandakan bagi membentuk pasukan yang mantap.
“Tahun lalu, kami bekerjasama dengan GM untuk memulakan projek penyertaan dalam Formula 1.
“Dengan kelulusan rasmi daripada FIA dan Formula One Management, kami akan meningkatkan usaha bagi memastikan pasukan itu bersedia untuk beraksi,” katanya lagi.
Cadillac akan menjadi satu lagi jenama utama yang menyertai perlumbaan paling berprestij dunia, sekaligus menambah persaingan di atas litar pada musim 2026.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |