
PRK DUN Ayer Kuning: SPR umum hari mengundi pada 26 April ini
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun yang turut menyatakan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
“Urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta diperlukan sebagai peruntukan PRK tersebut dengan 601 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikannya.
“Sebanyak 19 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 63 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari tahun ini yang dikemas kini sehingga 22 Februari lalu.
“DPPR ini mengandungi seramai 31,897 orang pemilih yang terdiri daripada 31,315 orang pengundi biasa dan 582 orang anggota Polis dan pasangan Polis PGA. DPPR bagi PRK Dewan Negeri Ayer Kuning akan mula dijual pada 25 Mac ini,” katanya.
Dalam pada itu, para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my/ atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 25 Mac 2025.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.
Bekas wakil rakyatnya, Datuk Azman Mahalan, memenangi kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut sejak 1986 hingga 2004.
Penguasaan BN di kerusi itu diteruskan pula dari 2004 sehingga 2022 oleh Datuk Samsudin Abu Hassan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |