Berita SemasaPolitik

Persaingan pemilihan CEC DAP kurang sengit banding sebelumnya – Anthony Loke

SUBANG JAYA – Persaingan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 dijangka kurang sengit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sebanyak 70 calon akan bertanding bagi merebut 30 jawatan dalam CEC, jumlah yang lebih kecil berbanding pemilihan lalu.

“Proses pencalonan telah ditutup dan sebanyak 70 calon akan bertanding untuk 30 jawatan dalam CEC. Ini menunjukkan persaingan kali ini tidak begitu sengit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke turut memaklumkan jumlah calon bertanding kali ini lebih rendah berbanding pemilihan 2022 yang menyaksikan 93 calon bersaing, manakala pada 2012, seramai 68 calon bertanding bagi 20 jawatan yang dipertandingkan.

Kongres DAP dijadual berlangsung pada 16 Mac di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) dengan beberapa tokoh utama parti dijangka bertanding bagi jawatan kepimpinan.

Antara pemimpin yang bakal bertanding termasuk Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, Steven Sim dan Chong Chieng Jen.

Turut tersenarai dalam kalangan calon wanita ialah Hannah Yeoh, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman, Lim Hui Ying, Vivian Wong, Wong Shu Qi dan Alice Lau.

Difahamkan, seramai 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada kongres kali ini yang turut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Selain Anwar, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO), Datuk Ewon Benedick, turut dijemput menghadiri majlis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button