Berita Semasa

Kementerian Perpaduan Negara beri tumpuan pendekatan reformatif tangani isu 3R

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara memberi tumpuan kepada pendekatan reformatif dan intervensi untuk menangani masalah berkaitan perpaduan di negara ini, khususnya membabitkan isu agama, institusi raja dan bangsa (3R).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, pihaknya banyak menerima soalan mengenai mengapa kementeriannya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang menyentuh isu 3R.

Jelas Aaron, kuasa penguatkuasaan serta tindakan undang-undang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KK), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Kementerian dan agensi ini bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap individu yang mencetuskan isu 3R,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah pemantauan isu melalui sistem eSepakat, yang membolehkan maklumat disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan mediasi yang disediakan oleh 571 Mediator Komuniti turut berperanan meredakan konflik di kalangan masyarakat.

“Kementerian Perpaduan Negara juga memperkenalkan Pusat Mediasi Komuniti sebagai platform bukan perundangan untuk membantu komuniti menyelesaikan pertikaian,” ujarnya.

Aaron menambah, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang melibatkan 12 kementerian dan agensi turut diwujudkan untuk memastikan langkah susulan dapat diambil dengan segera.

“Untuk memperkukuhkan usaha ini, Kementerian juga menggunakan Dashboard Analitik Perpaduan bagi mengenal pasti kawasan hotspot yang memerlukan perhatian melalui program intervensi.

“Pelaksanaan program dan kempen perpaduan juga diteruskan bagi menyatupadukan rakyat Malaysia,” ujarnya sambil berharap tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan oleh agensi berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button