
Doktor rakam pesakit tidak berbaju, direman kali kedua
GEORGE TOWN – Seorang doktor yang pernah dilapor berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit pada bulan lalu direman sekali lagi atas dakwaan kesalahan yang sama oleh seorang lagi mangsa.
Doktor berusia 43 tahun yang bertugas di klinik swasta di Pulau Tikus itu didakwa mengarahkan mangsa membuka baju dan berlari setempat untuk tujuan rawatan.
Terdahulu suspek dibenarkan ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake dalam satu kenyataan berkata, pengadu yang berusia 30 tahun juga mendakwa perbuatan tersebut turut dirakam menggunakan telefon bimbit doktor berkenaan.
“Suspek juga disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa sesi pemeriksaan kesihatan itu dilakukan,” katanya.
Katanya, laporan mengenai kejadian itu diterima oleh pengadu yang hadir ke premis perubatan tersebut untuk mendapatkan laporan keputusan darah pada 28 Jun 2023.
Sehubungan itu, polis menahan doktor tempatan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pukul 9.15 malam tadi.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya pada 26 Februari lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |