Jenayah & Mahkamah

Penemuan 700 peluru dalam beg, polis tahan pekerja penyelenggaraan

GEORGETOWN – Misteri penemuan beg berisi lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini, kelmarin, berjaya diselesaikan suslan penahanan seorang lelaki, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 46 tahun itu merupakan pengadu dalam kes berkenaan.

Jelasnya, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, dan ketika disoal siasat, dia mengakui meletakkan beg berisi peluru itu di lokasi kejadian bagi tujuan pelupusan sebelum menghubungi pihak polis.

“Suspek seorang pekerja penyelenggaraan, turut mengaku menemukan beg dan peluru itu ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah rumah, tahun lalu.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini bagi mengesahkan keterangan yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Berikutan pengakuan suspek, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam, hasil daripada tindakan pantas pihak polis,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penemuan beg itu susulan laporan orang awam.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dipetik sebagai berkata, hasil siasatan mendapati beg itu ditinggalkan oleh individu yang tidak dikenali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button