Berita SemasaPolitik

Lim Guan Eng persoal keadilan peruntukan belanjawan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, mempersoalkan keadilan pengagihan peruntukan belanjawan yang menyaksikan bukan Bumiputera hanya menerima RM1 bagi setiap RM10 yang diberikan kepada Bumiputera.

Beliau berkata, pendekatan dasar ekonomi negara perlu berasaskan fakta dan perpaduan nasional, bukan dimainkan dengan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Lim merujuk kepada Belanjawan 2022 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional yang memperuntukkan RM11.4 bilion kepada Bumiputera, tetapi hanya RM345 juta atau 3 peratus kepada bukan Bumiputera.

“Jumlah itu amat tidak adil dan tidak mencukupi sedangkan bukan Bumiputera juga merupakan penyumbang besar kepada pembangunan negara serta pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, cadangan untuk menetapkan nisbah 10:1 bagi peruntukan belanjawan tidak bermaksud mengurangkan hak Bumiputera.

“Jika Bumiputera mendapat RM12 bilion, maka bukan Bumiputera wajar mendapat RM1.2 bilion.

“Jumlah itu tidak mengurangkan peruntukan asal Bumiputera tetapi hanya memastikan agihan lebih saksama,” katanya lagi.

Lim turut mengakui bahawa Bumiputera masih merupakan kumpulan terbesar dalam kategori miskin, berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 yang menunjukkan kadar kemiskinan mutlak negara ialah 6.2 peratus

Bumiputera mencatatkan kadar tertinggi pada 7.9 peratus diikuti rakyat Malaysia lain (6.5 peratus), India (5.4 peratus) dan Cina (1.9 peratus).

“Dalam erti kata lain, kadar kemiskinan Bumiputera adalah 4.2 kali lebih tinggi daripada Cina, 1.5 kali lebih tinggi daripada India dan 1.2 kali lebih tinggi daripada rakyat Malaysia lain.

“Namun, memberikan 10 kali ganda peruntukan kepada Bumiputera sepatutnya sudah lebih daripada mencukupi untuk mengatasi isu kemiskinan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, peruntukan kepada bukan Bumiputera yang sebelum ini hanya 3 peratus atau 33 kali ganda lebih kecil berbanding Bumiputera perlu dinaikkan kepada 10 peratus.

“Ini adalah langkah lebih saksama yang tetap memberi keutamaan kepada Bumiputera tetapi tanpa menafikan hak warganegara lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button