
Kenaikan harga santan segar berpunca daripada kekurangan bekalan kelapa – KPKM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu berpunca daripada kekurangan bekalan kelapa di negara ini dan kenaikan harga kelapa diimport dari Indonesia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan harga berpunca daripada kenaikan harga kelapa import dari Indonesia berikutan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
Beliau berkata, ia sekali gus memberi kesan kepada harga kelapa tempatan berikutan permintaan lebih tinggi.
“Trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda, berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.
“Kebanyakan penanam kelapa di negara ini memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat.
“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perancangan menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa.
Mohamad berkata, tindakan intervensi seimbang antara pengurusan bekalan, penyelidikan dan pembangunan serta sokongan kerajaan sudah diambil untuk menangani isu lonjakan harga produk berasaskan kelapa.
Berdasarkan Laporan Perangkaan Agromakanan Malaysia 2023, katanya, trend pengeluaran kelapa di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 623,663 tan pada 2023, berbanding 536,606 tan pada 2019.
Beliau berkata, penggunaan per kapita kelapa juga meningkat daripada 22.7 kilogram seorang dalam setahun (kg/orang/tahun) pada 2019 kepada 24.9 kg/orang/tahun pada 2023, menunjukkan permintaan semakin bertambah.
“Bagi jangka pendek, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk 640 tan kelapa tua setiap bulan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan bekalan bagi kegunaan Semenanjung, terutama semasa musim perayaan mencukupi.
“FAMA dan FAMA Corporation Sdn Bhd sehingga 4 Mac lalu sudah membawa masuk 734 tan metrik bekalan kelapa tua dikupas dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian bernilai RM2.01 juta.
“Bekalan kelapa tua ini seterusnya diedarkan 42 Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat.
“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 usahawan santan di seluruh negara. Langkah ini akan membantu menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan dan produk berasaskan kelapa lain,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |