Berita SemasaDalam Negeri

Isu Era FM: Waspada guna platform digital – Menteri Digital

KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam menggunakan platform media sosial demi memastikan keharmonian negara terus terjaga.

“Kita harus ingat, dalam negara kita ini, kita perlu berhati-hati jika nak menggunakan platform-platform media sosial.

Gobind mengingatkan pengguna media sosial agar berhati-hati menggunakan platform tersebut agar tidak menggugat keharmonian negara.

“Ia bagi memastikan kita boleh meningkatkan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia. Jika ada pihak-pihak yang menyalahgunakan platform tersebut dan mengapi-apikan isu-isu sebegini, saya rasa tindakan perlu diambil oleh pihak berkuasa,” katanya kepada media selepas merasmikan Program EmpowerHER Digital di SMECorp Malaysia, di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa isu melibatkan penyampai radio Era yang kini dalam siasatan harus diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Pada saya, laporan polis telah dibuat dan pihak polis juga telah mengambil tindakan. Saya juga lihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan.

“Jadi, biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan yang perlu mengikut siasatan kes mereka,” katanya.

Tambah beliau, sebarang penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani dengan serius oleh pihak berkaitan.

“Saya telah pun menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan akhbar dua hari lalu bahawa penghinaan terhadap agama tidak seharusnya diambil ringan.

“Pada saya, kalau berlaku perkara sebegini, tindakan harus diambil oleh pihak-pihak yang berkaitan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai langkah pencegahan bagi mengelakkan isu seumpama itu daripada berulang, Gobind berkata pihak berkuasa harus diberikan ruang untuk menyiasat dan mencadangkan tindakan yang sewajarnya.

“Saya fikir biarlah pihak berkuasa siasat perkara ini dan mengemukakan cadangan serta tindakan yang akan diambil,” ujarnya.

Terdahulu, trio segmen 3 Pagi Era itu – Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin – mencetuskan kontroversi apabila video tarian Azad yang dikatakan menghina penganut agama Hindu tular di media sosial.

Buat masa ini, Astro Audio bertindak menggantung tugas mereka bertiga akibat insiden tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button