
EmpowerHER Digital 2025: Memperkasa wanita dalam transformasi digital
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited untuk memastikan golongan wanita terus diberi peluang dalam ekonomi digital menerusi inisiatif EmpowerHER Digital 2025.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program itu akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh ramai wanita di luar sana.
Menurut beliau, dunia hari ini berkembang pesat dengan teknologi digital yang membuka ruang luas dalam sektor e-dagang, kecerdasan buatan (AI), Fintech dan ekonomi gig.

Bagaimanapun, tidak semua mendapat akses sama rata untuk memanfaatkan peluang ini, terutamanya golongan wanita.
“Hampir 220,000 usahawan wanita telah menyertai e-dagang, namun hanya 12.63 peratus menerima latihan selepas penyertaan awal.
“Selain itu, 57,000 peniaga wanita dalam talian tidak berjaya mencatat sebarang jualan, sementara sebahagian besar hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.
“Ini menunjukkan masih terdapat halangan dalam mengoptimumkan potensi digital mereka,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di SME Corporation, di sini, hari ini.
Program yang dilancarkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) serta disokong oleh SME Corp Malaysia itu bertujuan merapatkan jurang digital dan memberi akses kepada wanita, khususnya daripada kumpulan B40 untuk memperoleh kemahiran digital serta bimbingan ke arah kestabilan ekonomi.

Berdasarkan laporan program DE Dagang 2022, 95 peratus usahawan wanita beroperasi secara individu tanpa pendaftaran sebagai syarikat rasmi.
Oleh itu, mereka memerlukan lebih banyak sokongan dalam aspek pembiayaan, pemasaran digital dan latihan strategik.
“EmpowerHER Digital bukan sekadar program latihan, tetapi satu gerakan nasional bagi membantu wanita membina keyakinan diri dan mencipta kejayaan dalam dunia digital,” tambahnya.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan sektor swasta termasuk Shopee, TikTok, CGC Digital dan Pixlr yang komited untuk menyediakan ekosistem digital lebih inklusif bagi wanita.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha memperkasakan wanita dalam dunia digital.
“Dengan kerjasama semua pihak, kita mampu membentuk Malaysia yang lebih inklusif, maju dan makmur dalam era digital ini,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |