Berita Semasa

170 individu dirai dalam Majlis Iftar D’tandoor, Nurul Izzah seru pejuang kanser terus berjuang

PUTRAJAYA – Seramai 170 individu terdiri daripada pesakit kanser, golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) telah diraikan dalam Majlis Iftar D’tandoor anjuran Kumpulan Rangkaian Restoran Antarabangsa D’tandoor di sini hari ini.

Majlis iftar yang turut mendapat kerjasama Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) dan Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) itu diserikan dengan kehadiran Penasihat MAHAR yang juga anak kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah dalam ucapannya menekankan agar pejuang kanser untuk tidak berputus asa dan terus berjuang meskipun berdepan dengan kesedihan dan pelbagai cabaran.

“Sebagai individu yang terus berjuang, kita harus sentiasa berusaha dan pegang pada pengharapan. Memang ada saat-saat kita merasa sedih dan tertekan, namun kita tidak boleh sekali-kali menyerah,” kata salah seorang pejuang kanser.

“Apa pun yang berlaku, itu adalah takdir kita. Kita masih berpeluang untuk berjuang dan mengisi setiap detik kehidupan dengan peringatan, senyuman, dan momen-momen bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar anjuran D’Tandoor, MAHAR dan Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) di sini hari ini.

Selain itu, Nurul Izzah turut berkongsi, satu usaha ujian klinikal untuk mencari penawar bagi kanser serviks sedang dijalankan oleh doktor-doktor pakar di Hospital St. George’s, England.

Beliau berkata, ujian klinikal itu melibatkan wanita-wanita di peringkat awal kanser serviks di Pusat Perubatan Universtii Malaya (PPUM).

Jelasnya, jika ujian tersebut berjaya, ia berpotensi untuk menghasilkan penawar bagi virus papillomavirus manusia (HPV) yang menyebabkan kanser serviks.

“InsyaAllah, dalam beberapa bulan mendatang, jika ujian klinikal ini berjaya dalam mencari penawar bagi virus papillomavirus manusia (HPV) yang menyebabkan kanser serviks, kita berpotensi untuk memperluaskan usaha ini dalam mencari penawar untuk jenis-jenis kanser lain,” ujarnya.

Nurul Izzah Anwar bersama engerusi Kumpulan D’Tandoor Datuk Seri Abdul Malik Abdullah (kiri) dalam Majlis Iftar D’tandoor. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, D’Tandoor dan MAHAR turut mengumumkan kerjasama jangka panjang dalam usaha kemanusiaan mereka, yang memfokuskan sokongan kepada Gaza melalui Tabung Kemanusiaan Gaza.

Kerjasama itu bertujuan meringankan penderitaan rakyat Gaza dengan menyediakan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.

Pengerusi Kumpulan D’Tandoor, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, sebanyak RM1 juta sasaran sumbangan telah ditetapkan di bawah inisiatif itu untuk memenuhi keperluan mendesak di Gaza, selain kerjasama dalam Dapur Ihsan yang menyampaikan makanan kepada penduduk Gaza.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, bantuan makanan akan menggunakan teknologi retort yang menawarkan kelebihan besar dalam logistik dan pengedaran.

“Teknologi ini membolehkan makanan sedia dimakan bertahan selama dua tahun dalam suhu bilik tanpa pengawet dan memastikan bekalan makanan yang dihantar kepada mereka segar dan berkhasiat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button