Luar Negara

Zelenskyy sedia perbaiki hubungan dengan Trump, seru gencatan senjata

KYIV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan kesediaannya untuk “memperbaiki keadaan” dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta bekerjasama di bawah kepimpinannya bagi mencapai keamanan berkekalan di Ukraine.

Sesi pertemuan antara dua ketua negara itu yang sepatutnya berlangsung tenang, bertukar kecoh di hadapan media antarabangsa.

Dalam kenyataan pertamanya sejak Trump menghentikan bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine, Zelenskyy menyifatkan perselisihan mereka minggu lalu sebagai sesuatu yang “dikesali” dan berjanji untuk menandatangani perjanjian mineral penting dengan Washington.

Beliau turut menggesa gencatan senjata di laut dan udara sebagai langkah pertama ke arah menamatkan perang tiga tahun dengan Rusia.

Hubungan antara Ukraine dan AS mengalami ketegangan sejak pertemuan Zelenskyy dan Trump di Rumah Putih minggu lalu yang berakhir dengan pertikaian terbuka, menyebabkan sekutu utama Kyiv itu menggantung bantuan ketenteraan yang begitu diperlukan pada ketika ini.

“Pasukan saya dan saya sedia berkerja di bawah kepimpinan kuat Presiden Trump, untuk mencapai keamanan berkekalan.

“Pertemuan kami di Rumah Putih pada Jumaat tidak berjalan seperti sepatutnya. Sudah tiba masanya untuk memperbaiki keadaan,” katanya dalam satu hantaran di platform X hari ini.

Dalam ucapan malamnya, Zelenskyy berkata, beliau telah mengarahkan ketua pertahanan dan perisikan Ukraine untuk menghubungi rakan sejawat mereka di AS bagi mendapatkan “maklumat rasmi” mengenai pembekuan bantuan itu.

Keputusan mengejut Trump pada Isnin untuk menghentikan bantuan kepada Ukraine telah mencetuskan kebimbangan di Kyiv dan ibu kota Eropah bahawa AS mungkin sedang mengubah haluannya ke arah Rusia.

Tindakan Trump itu disambut baik oleh Kremlin, dengan jurucakapnya, Dmitry Peskov menyifatkannya sebagai “penyelesaian yang boleh benar-benar mendorong rejim Kyiv ke arah proses damai.”

Kesatuan Eropah (EU), yang diketepikan daripada rundingan antara AS dan Rusia mengenai kemungkinan gencatan senjata, kini berusaha untuk memperkukuh sokongan kepada Ukraine.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memuji kesediaan Zelenskyy untuk “kembali berdialog” dengan Trump.

Namun, para pemimpin Eropah bimbang mengenai masa depan kerjasama pertahanan AS-Eropah.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen telah mengumumkan pelan EU untuk menggerakkan sekitar €800 bilion (AS$840 bilion) bagi tujuan pertahanan Eropah.

Sementara itu, bakal Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyokong kelulusan segera pakej bantuan €3 bilion (AS$3.15 bilion) kepada Ukraine yang kini tertangguh di parlimen, menyifatkannya sebagai “mendesak.”

EU dijangka mengadakan sidang kemuncak kecemasan pada Khamis bagi merangka sokongan bersama untuk Ukraine.

Penduduk Ukraine yang ditemui media antarabangsa meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan Trump.

“Ia seperti tikaman dari belakang,” kata Sofia, seorang pembantu kewangan berusia 33 tahun di Kyiv.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button