Berita SemasaPM X

FAM perkasa bola sepak negara, pembangunan di peringkat akar umbi

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuhkan ekosistem bola sepak negara, termasuk melalui pelbagai inisiatif pembangunan sukan serta kerjasama strategik dengan badan-badan berkaitan.

Hannah berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook ketika berkongsi tentang kunjungan hormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Putra Perdana, di sini kelmarin.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub; Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) merangkap mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin serta barisan kepimpinan badan tersebut.

Pada pertemuan itu, turut diadakan perbincangan mengenai perancangan FAM dan KBS dalam memperkasakan sukan bola sepak negara.

Hannah juga menegaskan komitmen KBS dalam memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang dan mencapai kejayaan di peringkat serantau serta antarabangsa.

Dalam pertemuan tersebut, FAM telah membentangkan beberapa inisiatif dan perancangan strategik bagi memperkasakan bola sepak negara dengan penekanan khusus terhadap pembangunan di peringkat akar umbi dan remaja.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan bakat serta melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, sesi ini turut membincangkan perkembangan terkini persiapan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, menjelang perlawanan sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini,” kata Hannah.

FAM turut berkongsi laporan mengenai persediaan pasukan, termasuk aspek latihan, strategi dan persiapan mental serta fizikal bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik menjelang kejohanan tersebut.

Dengan kerjasama erat antara kerajaan, FAM dan pihak berkepentingan lain, usaha memperkasa bola sepak negara diharap dapat melahirkan generasi pemain berbakat serta meningkatkan pencapaian Malaysia dalam arena bola sepak dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button