
Lelaki tekad cuci 30 surau sepanjang Ramadan
NILAI – Tindakan seorang lelaki melakukan kerja amal untuk mencuci 30 surau sepanjang bulan Ramadan ini mendapat perhatian netizen.
Melalui satu hantaran video di TikTok @rusydi.official, pemuda itu dilihat gigih membersihkan surau di sebuah stesen minyak yang terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Menurut Rusydi Rosli, sebelum melakukan kerja amal tersebut, beliau telah meminta izin petugas di tempat itu.

“Alhamdulillah, supervisor di sini sambut usaha saya dengan baik. Saya gunakan semua peralatan sendiri kecuali air,” katanya.
Rusydi memberitahu, proses cucian akan mengambil masa sekitar satu hingga dua jam.
Ini termasuklah mencuci dan mengemop lantai, kawasan berwuduk, membersihkan kipas, lap tingkap dan menyembur pewangi pada sejadah.
Tambah beliau, kerja-kerja pembersihan dilakukan pada awal pagi bagi mengelakkan gangguan kepada orang ramai yang mahu menggunakan surau tersebut pada waktu Zohor.
Beliau turut memaklumkan bahawa apa yang dilakukan tidak dibayar oleh mana-mana pihak.

“Harapan saya semoga usaha kecil ini dapat memberi manfaat buat semua,” katanya lagi.
Di ruangan komen pula, banyak komen positif yang memuji usaha Rusydi membersihkan surau itu untuk keselesaan orang ramai.
“Semoga dimurahkan rezeki bang. Tolong PM min nak sponsor barang cuci,” komen akaun rasmi @MydinMalaysia.
“Dalam media sosial ni kita banyak didedahkan hiburan melalaikan, pengaruh buruk. Jadi tak salah rasanya untuk sebarkan benda baik dan positif kan. Spread kindness,” tulis @nora3411 pula.
Setakat ini, video tersebut telah meraih 430,800 tontonan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |