AgamaRencana

Di mana ‘tingkatan’ puasa kita?

PUASA merupakan ibadah istimewa dalam Islam yang bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga melatih umatnya mencapai tahap ketakwaan yang lebih tinggi dalam jiwa.

Ibadah ini hakikatnya mempunyai tingkatan yang berbeza bergantung sejauh mana seseorang Muslim memahami dan menghayatinya.

Imam Al-Ghazali mengklasifikasikan martabat dan darjat puasa kepada tiga bahagian.

Puasa orang awam atau Al-Umum iaitu mereka hanya menahan perut dan syahwatnya daripada tuntutan nafsu.

Melalui Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan siri ke-150 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan tentang tingkatan puasa tersebut.

Pertama, puasa Al-Umum iaitu hanya menahan perut dan syahwatnya daripada tuntutan nafsunya sahaja. Ini dikhususkan kepada golongan puasa awam.

Kedua, puasa Al-Khusus iaitu menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa.

Dan martabat puasa ini adalah puasa para solihin. Mereka ini menundukkan pandangan daripada apa yang membalikkan hatinya daripada mengingati Allah SWT.

Puasa Al-Khusus iaitu menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa.

Menjaga percakapan daripada berbohong, mengumpat, mencela dan memaki. Mereka selalu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.

Ketiga, puasa Khusus Al-Khusus iaitu menjaga hatinya daripada mengingati hal keduniaan dan menumpukan sepenuh hatinya hanya kepada Allah SWT dan hari akhirat.

Golongan ini memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Inilah puasa golongan para anbiya’, sodiqin dan muqarrabin.

Penulis buku Sempurnakah Puasaku? terbitan Bonda Nor Sdn Bhd, Ustaz Abdul Muiez Ruslee berkata, daripada realiti tingkat-tingkat puasa yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali, cuba renungkan kembali di mana tingkatan puasa kita?

Ustaz Abdul Muiez Ruslee

“Jika kita berada dalam kelompok Al-Umum, sudah berapa lama kita hidup di atas bumi? Adakah setiap tahun puasa kita masih berada di takuk yang sama?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Beliau turut membawakan amaran yang terkandung dalam satu hadis yang diriwayatkan Al-Tabarani di mana Rasulullah SAW bersabda: “Berapa ramai orang yang berpuasa dan tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.”

“Melalui hadis ini, kita perlu sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada tingkatan puasa seperti itu.

“Kita sendiri tahu, puasa itu memang penat. Sudahlah terpaksa menahan lapar dan dahaga, perlu pula menghadap lelah dunia yang tidak berakhir. Penghujungnya, kita terbaring kepenatan.

“Bayangkan dengan penat itu, puasa kita tidak dipandang Allah. Rugi sangat. Puasa, tetapi tidak menjaga pandangan, lisan, perbuatan dan macam-macam lagi.

Puasa bagi kanak-kanak membuatkan mereka tidak sabar menunggu waktu berbuka dan membuat persiapan menyambut hari raya.

“Ibarat kita diamanahkan untuk membawa satu gelas penuh air sambil berlari. Sampai ke garisan penamat, sudahlah penat, air dalam gelas itu pula habis tertumpah.

“Tak ada setitis pun yang tinggal. Itulah dua kerugian yang perlu kita hadap,” tegasnya.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam agar memperbaiki tingkatan puasa kita seiring dengan peningkatan usia.

“Takkanlah sudah memasuki usia emas, tapi puasa masih lagi seperti kanak-kanak.

“Baru awal puasa, sudah fikir tentang raya. Baru lepas sahur, sudah fikir tentang apa yang mahu dimakan ketika berbuka.

“Raikan puasa sebagai satu ibadah wajib. Mahu atau tidak, suka atau tidak, puasa tetap perlu dilaksanakan.

“Namun, tambahkan sedikit lagi dengan perasa keimanan dan ketakwaan, maka barulah puasa kita bukan lagi seperti puasa orang umum,” ungkap Abdul Muiez lagi.

Ibadah puasa yang dijalani dengan penuh ketakwaan kepada Allah mampu meningkatkan darjat seseorang hamba.

Kesimpulannya, ibadah puasa perlu kita laksanakan sepenuh hati dan jiwa.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Semoga Allah SWT melimpahkan inayah dan taufiq-Nya untuk kita menjalani ibadah pada bulan Ramadan ini dengan penuh ketakwaan semata-mata mengharapkan redha Yang Maha Esa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button