
Sindiket licik menyamar pegawai penjara, keluarga banduan jadi mangsa
KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan terdapat aduan mengenai sindiket penipuan yang menyasarkan ahli keluarga banduan dengan taktik meminta wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi banduan di dalam penjara.
Menurutnya dalam satu kenyataan, sindiket berkenaan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, SJN Zam dan beberapa nama lain bagi memperdaya keluarga banduan.
Katanya, mereka menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih serta meminta sejumlah wang, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank tumpangan.

“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat, dan pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam membantu siasatan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelemahan dalam prosedur yang membolehkan sindiket itu beroperasi.
Jabatan Penjara Malaysia turut menasihatkan orang ramai, khususnya keluarga banduan, agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan sindiket yang menggunakan nama jabatan bagi tujuan penipuan.
“Sekiranya menerima pesanan mencurigakan yang meminta wang, mereka disaran untuk tidak membuat sebarang transaksi dan segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis serta institusi penjara terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jabatan itu menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan banduan dan keluarga mereka agar tidak menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |