
PELABURAN dalam Islam bukan sekadar soal keuntungan, tetapi juga keberkatan dan kepatuhan kepada prinsip syariah.
Dalam konteks simpanan persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menawarkan alternatif Akaun Simpanan Syariah kepada pencarum yang ingin memastikan wang mereka bebas daripada unsur riba dan ketidakpastian bermula pada 2017.
Sejak tujuh tahun lalu, pencarum yang telah menukar kepada Simpanan Syariah sering berada dalam dilema apabila nilai dividen yang diagihkan KSWP lebih rendah berbanding mereka yang kekal dengan Simpanan Konvensional.

Namun, tahun 2024 membawa berita gembira buat mereka apabila KWSP mengumumkan dividen bagi kedua-dua jenis simpanan adalah sama nilainya iaitu 6.3 peratus.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, dalam situasi ini, prinsip muamalat Islam mempengaruhi strategi pelaburan Simpanan Syariah serta impaknya terhadap kadar dividen yang diterima pencarum.
Menurut beliau, prinsip asas muamalat Islam memainkan peranan penting dalam menentukan mekanisme pelaburan dan pemberian dividen dalam Simpanan Syariah KWSP.

“Pelaburan dalam Akaun Syariah mesti mematuhi beberapa prinsip utama, termasuk keadilan, larangan riba serta penghindaran gharar (ketidakpastian).
“Oleh itu, dana dalam Simpanan Syariah hanya dilaburkan dalam aset yang jelas dan patuh syariah, berbeza dengan pendekatan konvensional yang mungkin melibatkan instrumen berunsur riba atau spekulatif,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, KWSP berdepan cabaran dalam mengekalkan kadar dividen Simpanan Syariah agar setanding dengan Simpanan Konvensional.
“Antara cabaran utama ialah ketidakstabilan pasaran dan keterbatasan instrumen pelaburan patuh syariah. Oleh kerana Simpanan Syariah tidak boleh melabur dalam sektor yang tidak patuh syariah, pilihan pelaburan menjadi lebih terhad, sementara kos pematuhan syariah pula lebih tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pasaran global dan dasar ekonomi Malaysia turut mempengaruhi kadar dividen KWSP.
“Simpanan Syariah lebih terkesan kerana tidak dapat melabur dalam instrumen konvensional yang kebiasaannya menawarkan pulangan lebih tinggi.
“Selain itu, saiz pasaran pelaburan patuh syariah yang lebih kecil menjadikannya lebih terdedah kepada turun naik ekonomi,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, kadar dividen KWSP boleh menjadi salah satu indikator prestasi ekonomi negara, tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor penentu.
“Dividen yang tinggi boleh mencerminkan prestasi pelaburan KWSP yang baik, yang mungkin didorong oleh keadaan ekonomi yang kukuh.
“Namun, untuk memastikan pelaburan KWSP kekal stabil, pertumbuhan ekonomi negara mestilah mampan, kadar inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah.
“Hanya dengan kestabilan faktor-faktor ini, ekonomi Malaysia boleh dikatakan berada di landasan yang kukuh,” ungkapnya.

Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, pakar kewangan dan muamalat Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, daripada semua pencarum KSWP, lebih 74 peratus daripada pencarum Muslim masih belum beralih kepada Simpanan Syariah.
“Mungkin ada yang belum sedar tentang perkara ini atau ada juga yang bimbang perubahan tersebut akan merugikan mereka.
“Hakikatnya, peralihan ke Simpanan Shariah tidak akan berlaku secara automatik. Ia perlu dilakukan sendiri oleh pencarum melalui i-Akaun KWSP secara dalam talian.

“Dengan hanya beberapa klik, seseorang boleh memastikan simpanan hari tua mereka terhindar daripada unsur yang syubhah dan tidak halal,” katanya lagi.
Menyedari ramai pencarum Muslim yang mungkin bimbang tidak menerima pulangan yang lebih tinggi, Dr. Zaharuddin menegaskan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 28 yang bermaksud:
“Dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Jelas beliau lagi, ramai yang tidak menyedari bahawa 61 peratus daripada dividen Simpanan Konvensional tidak patuh syariah.
“Ini kerana dana konvensional dilaburkan dalam sektor yang tidak menepati prinsip Islam, termasuk yang terlibat dengan riba dan aktiviti tidak halal.
“Maknanya, daripada setiap RM10,000 dividen yang diterima, RM6,100 sebenarnya perlu dibersihkan. Baki yang boleh digunakan dengan tenang hanyalah RM2,460.

“Untuk membersihkan wang tersebut, ia boleh disalurkan kepada fakir miskin atau digunakan untuk keperluan awam dengan niat pembersihan, namun tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan peribadi,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, perkara ini bukan isu baharu. Sejak bertahun-tahun lamanya, kadar pembersihan bagi Simpanan Konvensional tetap tinggi iaitu antara 64 peratus hingga 71 peratus.
“Bermakna, tahun demi tahun, sebahagian besar dividen yang diterima oleh pencarum Simpanan Konvensional bukanlah milik mereka sepenuhnya dari sudut syarak.
“Berbeza dengan pencarum Simpanan Syariah, pembersihan tidak diperlukan lagi kerana dana dalam skim ini dijamin bersih, bebas riba dan dilaburkan hanya dalam sektor yang patuh syariah,” tegasnya.
Sementara itu, dalam sesi di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pencarum KWSP beragama Islam untuk mencarum dalam simpanan syariah secara automatik.
Namun, beliau menegaskan kerajaan menggalakkan mereka untuk berbuat demikian menerusi beberapa siri galakan dan penerangan berhubung instrumen kewangan syariah, yang diharap mampu meningkatkan jumlah pencarum Islam dalam simpanan berkenaan.
Maka, soalan yang perlu kita tanyakan pada diri sendiri hari ini ialah adakah kita sudah bersedia untuk memastikan simpanan kita halal sepenuhnya? Jika belum, mungkin inilah masa terbaik untuk bertindak.
Tepuk dada, tanyalah iman, pasti adanya jawapan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |