
PM tegaskan kadar caruman dua peratus KWSP pekerja asing tidak jejas rakyat tempatan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah mengenakan kadar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing tidak akan memberi kesan negatif kepada rakyat tempatan.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, KWSP tetap memberikan perhatian penuh kepada rakyat tempatan melalui beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan, seperti I-Saraan dan I-Suri.
“Ini juga tidak mengurangkan perhatian KWSP kepada rakyat tempatan kerana kerajaan telah memperkenalkan caruman sukarela pada tahun 2024 untuk mereka yang bekerja sendiri dan sehingga kini, 1.2 juta ahli telah membuat caruman sukarela yang memberi manfaat.
“Kita juga perkenalkan inisiatif I-Saraan dan I-Suri yang ditujukan untuk menjaga kepentingan sektor informal, terutama bagi isteri-isteri yang menjadi suri rumah,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai caruman KWSP untuk bukan warganegara yang dikatakan membebankan majikan serta mengalih perhatian KWSP kepada simpanan persaraan warganegara.
Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan bahawa kadar dua peratus bagi pekerja warga asing adalah amat rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan untuk memastikan caruman tersebut dapat memberikan peluang kepada kerajaan untuk mendaftar jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Selain itu, beliau berkata, caruman itu juga bertujuan untuk menggunakan sistem institusi kewangan, termasuk KWSP dan sistem perbankan bagi memastikan simpanan pekerja asing terjamin.
“Ia juga bertujuan agar pekerja asing memahami bahawa simpanan mereka adalah tetap dan mereka akan didorong untuk mengeluarkannya apabila tamat tempoh khidmat mereka atau permit kerja mereka di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan, melalui KWSP dan Kementerian Kewangan (MOF), telah mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat besar dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana).
“Libat urus tersebut adalah selaras dengan piawaian antarabangsa, khususnya Artikel 68 Konvensyen 122 ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa),” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |