AgamaBerita Semasa

Pengalaman baharu tiga mualaf sambut Ramadan pertama

Oleh AMIR SARIFUDIN

GEORGE TOWN – Sambutan Ramadan memberi makna mendalam kepada tiga saudara baharu yang memilih Islam sebagai jalan hidup mereka.

Bukan sahaja Ramadan tahun ini yang pertama buat mereka, malah suasana berbuka puasa beramai-ramai di masjid menjadi satu pengalaman yang cukup berharga.

Bagi Law Chiew Lin, 27, pengalaman memeluk Islam pada hari pertama Ramadan disusuli dengan jemputan berbuka puasa di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam di sini memberikan perasaan yang sukar digambarkan.

“Saya berasa tenang selepas mengucapkan dua kalimah syahadah dan gembira dapat merasai kemeriahan berbuka puasa bersama saudara baharu yang lain.

“Saya rasa bukan sahaja diraikan, malah diterima oleh komuniti di sini. Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Chiew Liu mengucapkan syahadah di masjid berkenaan dengan bimbingan Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.

Menurutnya, keputusan memeluk Islam dibuat selepas mendapat penerangan jelas daripada beberapa rakan mualaf mengenai agama ini.

“Islam mengajar saya untuk mengekalkan hubungan dengan keluarga walaupun berbeza kepercayaan,” ujarnya.

Hew Boon Seng

Sementara itu, Hew Boon Seng, 47, mengakui bahawa berpuasa dalam bulan Ramadan adalah cabaran baharu buatnya.

Memeluk Islam pada 21 Februari lalu, beliau berkata, walaupun perlu menahan lapar dan dahaga, pengalaman itu membawa ketenangan.

“Apabila difikirkan semula, berpuasa bukanlah sesuatu yang mustahil sehingga boleh memudaratkan. Malah, saya rasa lebih sihat dan gembira dapat berbuka puasa di masjid ini,” katanya sambil tersenyum.

Ooi Tiong Seng diberi tunjuk ajar cara-cara mengambil wuduk.

Bagi Ooi Tiong Seng, 56, Ramadan pertama ini bukan sahaja tentang berpuasa, malah kesempatan berbuka puasa beramai-ramai dan menunaikan solat berjemaah di masjid memberikan pengalaman yang luar biasa.

“Saya bukan sahaja diraikan, tetapi juga diterima sebagai sebahagian daripada komuniti di sini. Saya turut dibimbing mengenai cara mengambil wuduk dan solat dengan betul. Ini pengalaman yang mendamaikan jiwa,” katanya yang baru memeluk Islam beberapa hari lalu.

Law Chiew Lin (kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin Zolkifly Md. Lazim (kanan) di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam, George Town.

Sementara itu, Zolkifly Md. Lazim berkata, ketiga-tiga saudara baharu ini memeluk Islam hasil usaha sukarela IKUT.

Menurutnya, sepanjang Ramadan, pelbagai program akan dianjurkan untuk memastikan golongan mualaf tidak berasa tersisih.

“Kami akan mengadakan program khas untuk mualaf di beberapa masjid bagi merapatkan hubungan mereka dengan komuniti serta memperkenalkan aktiviti yang berlangsung di setiap masjid,” katanya.

Sebahagian mualaf menanti waktu berbuka puasa di Masjid Jamek Haji Wahab SImpang Enam, George Town.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button