Politik

Mesyuarat PKR Kuala Selangor kecoh: Polis siasat ugutan angkat parang

KUALA SELANGOR – Polis membuka kertas siasatan berhubung kekecohan yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kuala Selangor selepas seorang wanita membuat laporan mendakwa menerima ugutan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, mengesahkan laporan polis telah dibuat kelmarin oleh pengadu yang merupakan salah seorang yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Thiban Subramaniam.

“Pengadu mendakwa seorang lelaki mengugut dengan kata-kata ‘angkat parang’ kepadanya sebelum individu berkenaan datang menghampiri dan membuat provokasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan ugutan jenayah.

Azaharudin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram sebuah video berdurasi empat minit tujuh saat yang memaparkan insiden pergaduhan dalam mesyuarat berkenaan.

Dakwaan dalam video itu menyebut kekecohan berlaku apabila seorang bekas calon PKR yang juga pegawai khas seorang menteri dikatakan membawa sekumpulan individu untuk menghalau pencabarnya.

Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar insiden dan individu yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button