
KPDN lancar 95 Bazar Ramadan Rahmah 2025 di seluruh negara
SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan 2025 di Bazar Ramadan KIPMALL Kota Warisan di sini.
Timbalan Menteri, Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, penganjuran BRR di 95 lokasi di seluruh negara itu bertujuan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan sekaligus mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Peniaga di bazar ini digalakkan menawarkan Menu RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan tambahan dalam menu mereka.
“Langkah ini bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah juga dapat menikmati juadah berbuka puasa yang seimbang dan berkhasiat,” katanya pada pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di sini, hari ini.
Pada tahun ini, BRR 2025 melibatkan 96 lokasi di seluruh negara, termasuk sembilan lokasi di Selangor, dengan penambahan insentif e-wallet bernilai RM9.36 juta.

Peniaga dan pengunjung terpilih akan menerima e-wallet masing-masing sebanyak RM100 dan RM20 bagi menggalakkan pembayaran secara tanpa tunai.
“Pada Ramadan tahun lalu, satu lokasi Bazar Ramadan Rahmah di Putrajaya mencatatkan hampir 100 peratus urus niaga tanpa tunai yang tahap sedia peniaga dan pengunjung untuk beralih ke arah urus niaga digital,” tambahnya.
Selain itu katanya, KPDN turut memperkenalkan inisiatif pendigitalan melalui Retail Digitalisation Initiative (ReDI) bagi memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus ekonomi digital.
Inisiatif lain yang diteruskan adalah Program MySaveFood @ Ramadan yang bertujuan mengurangkan pembaziran makanan.

Program ini menunjukkan impak besar sepanjang Ramadan 2024, dengan lebih 60,000 kilogram makanan yang tidak terjual diselamatkan, sekali gus mengelakkan pelepasan lebih 114,000 kilogram gas rumah hijau.
Nilai makanan yang diselamatkan dianggarkan berjumlah RM714,000 dan telah diagihkan kepada surau, masjid, asrama, serta individu yang memerlukan.
Dalam pada itu, Bazar Ramadan Rahmah turut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya sasaran mengurangkan separuh pembaziran makanan menjelang 2030 serta mencapai matlamat Zero Hunger.
Sehubungan itu, Fuziah menyeru rakyat Malaysia untuk mengunjungi bazar-bazar Ramadan Rahmah berdekatan, menyokong peniaga tempatan dan mengambil peluang mendapatkan Menu RAHMAH.
“Usaha kecil ini, jika dilakukan secara kolektif, mampu membawa perubahan besar dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat serta menyemai budaya rahmah dalam masyarakat,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881 / 5905 atau melalui e-mel spip@kpdn.gov.my.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |