Berita SemasaDalam Negeri

Kontroversi kandungan video sensitif: Astro Audio rehatkan tiga penyampai radio

KUALA LUMPUR – Astro Audio merehatkan tiga penyampainya, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin, susulan insiden rakaman video yang dikongsi di platform media sosial ERA, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media, Astro Audio menyatakan kekesalan terhadap insiden tersebut dan memohon maaf atas sebarang kesulitan serta kekecewaan yang timbul akibat rakaman itu.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan pihak yang terlibat. Para penyampai yang terbabit telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka,” kata kenyataan tersebut.

“Sebagai langkah susulan, Astro Audio memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut daripada ke udara sehingga diberitahu kelak sementara siasatan dalaman dijalankan.

“Sebagai sebuah syarikat penyiaran yang bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program yang dihasilkan mencerminkan nilai serta jangkaan audiens kami,” tambah kenyataan itu.

Astro Audio berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

“Kami amat menghargai maklum balas daripada para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri,” kata Astro Audio.

Dalam satu kandungan video yang disiarkan di media sosial ERA baru-baru ini, Azad telah melakukan tarian dan gerakan yang didakwa mempermainkan amalan penganut Hindu dan ia tular di media sosial.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima pelbagai aduan berhubung insiden tersebut dan mengarahkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio terbabit bagi memberikan penjelasan penuh mengenai insiden yang berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button