AgamaBerita Semasa

Kementerian Perpaduan kecam tindakan tiga penyampai radio persenda agama Hindu

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara mengecam tindakan tiga penyampai radio yang didakwa menghina dan mempersenda agama Hindu dalam siaran di sebuah stesen radio tempatan milik Astro.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas keharmonian negara.

Justeru itu, beliau mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Sebarang perbuatan menyinggung perasaan penganut agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio terbabit kemudian membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

Sususlan kontroversi itu, pihak Astro Audio mengambil keputusan untuk merehatkan ketiga-tiga penyampai radio terbabit sehingga siasatan selesai.

Mengulas lanjut, Aaron turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan pihak yang menyebarkan kandungan berunsur penghinaan atau mempersenda agama di media massa dikenakan tindakan yang sewajarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button