Berita SemasaHiburan

Kandungan sensitif : Penyampai radio Era mohon maaf

KUALA LUMPUR – Tiga penyampai radio ERA, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jazmin telah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kandungan siaran mereka yang tular baru-baru ini dan dikatakan menyentuh sensitiviti kaum khususnya masyarakat India.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, mereka mengakui kekhilafan yang berlaku dan menegaskan bahawa tiada sebarang niat untuk menyinggung mana-mana pihak.

“Salam sejahtera kepada semua sahabat-sahabat kami. Kami di 3 Pagi Era ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era baru-baru ini.

“Ini berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan dan telah menyinggung hati segelintir pihak dan juga sahabat-sahabat kami yang berbangsa India,” kata Nabil.

Sementara itu, Radin turut mengakui kesilapan serta kekhilafan mereka.

“Kami juga akan pastikan perkara sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Mereka juga berjanji akan lebih berhati-hati dalam memastikan kandungan yang disiarkan di masa hadapan menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu.

“Kami amat menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu dan akan lebih berhati-hati dalam setiap kandungan yang disiarkan pada masa hadapan,” kata mereka.

Seorang lagi penyampai, Azad turut menyatakan kesediaan untuk menerima teguran dan kritikan daripada para pendengar, terutamanya mereka yang setia mengikuti siaran ERA.

“Sebagai penyampai radio, kami sentiasa terbuka menerima teguran, komen, serta kritikan daripada pendengar setia ERA bagi memperbaiki diri kami.

“Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf atas kesilapan kami tanpa sengaja yang kami lakukan. Maaf sangat-sangat daripada kami 3 pagi Era,” ujar Azad.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Kementerian Komunikasi telah menerima pelbagai aduan berhubung insiden tersebut.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio terbabit bagi memberikan penjelasan penuh mengenai insiden yang berlaku.

“Saya telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini dengan terperinci serta memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio berkenaan ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.

“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” jelas Fahmi dalam kenyataan beliau.

Tindakan itu diambil susulan kebimbangan masyarakat mengenai penyiaran kandungan yang dianggap tidak sensitif terhadap nilai budaya dan kepercayaan agama tertentu.

Baru-baru ini, Azad muncul dalam satu video melakukan tarian dan gerakan yang didakwa mempermainkan amalan penganut Hindu dan ia tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button